Nasional

Pemandu mabuk Toyota C-HR direman empat hari

INFORMASI terkini tentang kes kemalangan maut gara-gara pemandu memandu di bawah pengaruh alcohol di Kuantan, Pahang.

Seorang peraih ikan yang dipercayai memandu menentang arus di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja syarikat pembersihan di Jalan Pintasan Kuantan malam tadi direman empat hari, bermula hari ini.

BERNAMA melaporkan, perintah reman terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Najwa Hashim selepas suspek yang memakai baju-T berwarna putih dan berseluar pendek hitam dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.

Suspek yang tinggal di Tanah Putih direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di bawah akta tersebut, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pada pukul 9.20 malam tadi, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng.

Dia maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh oleh kereta Toyota C-HR yang dipandu suspek secara menentang arus dan berbahaya.

Mangsa yang beralamat di Sungai Isap Perdana disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

Siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota C-HR itu dipandu menentang arus sejauh lebih lima kilometer; bermula dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa mengelak daripada bertembung dengan Toyota C-HR tersebut.

Sebelum kejadian, suspek dipercayai telah minum minuman keras di rumah rakannya di sebuah taman perumahan di Semambu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button