Nasionalpilihan

Pemandu mabuk, miliki 7 saman tertunggak langgar atlet kayak negara

POLIS mengesahkan pemandu yang melanggar atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md. Elias bukan di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey di Johor Bahru bukan sahaja mabuk tetapi turut memiliki tujuh saman tertunggak.

Memetik laporan media, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemandu itu telah ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Raub memberitahu, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 4.30 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Toyota Vios berwarna merah yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

“Kenderaan tersebut dikatakan telah menukar lorong dari laluan tengah ke kiri secara tiba-tiba menyebabkan kemalangan berlaku sehingga mangsa retak bahu kanan dan tulang pinggul, selain beberapa luka pada bahagian kaki.

“Pemandu yang disahkan mabuk selepas ujian pernafasan dibuat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button