Pemain, pegawai pasukan Kedah terima sebulan gaji
AKHIRNYA para pegawai dan pemain pasukan Kedah boleh menarik lafas lega apabila gaji mereka yang tertunggak sejal Mac bakal dibayar.
Selepas lima bulan tidak mendapat gaji, hari ini mereka mendengar berita gembira apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berjanji untuk melunaskan bayaran gaji penuh untuk bulan Julai.
Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor juga memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan yang masih berbaki dalam masa terdekat pada sidang media di kediaman rasminya di ALor Setar.
“KFA telah menyelesaikan sebahagian tunggakan gaji dengan bayaran gaji bagi Julai telah dimasukkan ke akaun mereka, hari ini (semalam). Saya beri jaminan bahawa semua masalah ini akan diselesaikan pada musim ini … itu adalah janji saya.
“Saya juga telah membuat rundingan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi menyusun semula jadual pembayaran caruman mereka yang tertunggak sejak 2019,” katanya seperti yang dipetik dari BERNAMA.
Majlis makan malam bersama pasukan Lang Merah sebagai tanda penghargaan kepada barisan pemain dan pengurusan pasukan atas komitmen tinggi, selain Menteri Besar turut memohon maaf bagi pihak pengurusan lama dan baharu berhubung isu yang melanda itu.
Beliau berkata KFA sangat komited untuk menyelesaikan isu berkenaan dan pihaknya telah mengadakan rundingan bersama penaja musim ini yang masih belum melunaskan bayaran seperti dipersetujui dalam kontrak yang ditandatangani sebelum ini.
“Kita berusaha untuk terus mencari penaja dan penyumbang yang boleh membantu pasukan. Buat masa ini, penaja yang telah menandatangani kontrak pada musim ini akan memulakan pembayaran namun bukan dalam kuantiti penuh dan kita faham itu, mungkin mereka turut terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Mengenai kemungkinan pemotongan gaji pemain semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bulan-bulan selepas itu, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan oleh KFA dan pemain.
Sementara itu, ketua jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak berharap isu-isu berkaitan dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan pasukan memberi fokus terhadap persediaan dan perlawanan.
Kapten pasukan Baddrol Bakhtiar yang mewakili barisan pemain berterima kasih kepada Presiden KFA atas usaha yang dilakukan untuk menyelesaikan isu gaji yang sedikit-sebanyak dapat menyuntik semangat dan kegembiraan kepada barisan pemain Lang Merah.
“Ini merupakan khabar gembira buat kami dan saya sangat tertarik dengan ucapan presiden yang tidak mahu bercakap banyak dan hanya fokus kerja untuk menyelesaikan masalah ini. Mengenai rundingan bersama KFA berhubung beberapa perkara, kami sentiasa terbuka dan akan lihat bagaimana rundingan itu nanti,” katanya.