Nasional

Pemain industri komoditi bantu kurangkan import makanan ternakan

KERAJAAN akan berusaha menarik pemain-pemain industri yang terlibat dalam komoditi berskala besar supaya import makanan ternakan khususnya jagung bijian dikurangkan sehingga 70% pada masa depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pihaknya difahamkan di bawah Kementerian Komoditi menyasarkan 6 juta hektar tanaman sawit di Malaysia.

Badrul Hisham Mohd mencuba mesin menuai jagung bijian di Lembah Chuping, Padang Besar, Perlis.

“Kita berharap jika diperuntukkan hanya 10% sahaja dari keluasan tanah itu dengan sejumlah 600,000 hektar akan mampu menghasilkan 3 tan metrik jagung bijian.

“Sekali gus kita akan mengurangkan kadar import jagung yang sekarang mencecah 4 juta metrik tan setahun dengan nilai RM6.2 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media usai Program Walkabout Penuaian Jagung Bijian di Lembah Chuping, Padang Besar.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) Institut Penyelidik dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohammad Kamal Abdul Kadir dan Pengarah Pertanian Perlis, Hafizuddin Othman.

Badrul Hisham Mohd diberikan penerangan semasa melawat tapak pameran dalam Walkabout Penuaian Jagung Bijian di Lembah Chuping, Padang Besar, Perlis.

Badrul Hisham berkata, pada peringkat sekarang pihaknya memang fokus untuk mengurangkan kadar import mencapai  30% menjelang 2030.

Katanya lagi, sejak 2018, kerajaan melalui MAFI telah mengambil inisiatif memulakan Projek Pembangunan Industri Jagung Bijian di bawah Program Sumber  Kekayaan Baharu.

“Fasa Projek Rintis dilaksanalan dari 2018 hingga 2022 bagi mengenalpasti lokasi yang sesuai, mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kaedah penanaman yang optimun termasuk pemutuan kualiti jagung bijian dan perluasan kawasan pembangunan penanaman sehingga 20,000 hektar,” jelasnya.

Beliau berkata, ia turut melibatkan Perlis dengan keluasan tanah 176 hektar ditanam jagung bijian  pada tahun ini.

“Sebanyak lapan peserta yang terdiri dari agensi atau syarikat swasta dan individu terlibat,” katanya.

Tambah beliau, antara syarikat peneraju yang sedang mengusahakan penanaman ini secara ladang kontrak adalah Syarikat Green World Genetics Sdn. Bhd. (GWG). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button