Peluang terbuka untuk pemain pelapis, profesional buru slot ke Piala Thomas
KETUA Jurulatih Perseorangan Lelaki negara, Hendrawan berkata, barisan pemain pelapis dan profesional badminton Malaysia masih berpeluang merebut tempat dalam skuad negara bagi acara perseorangan lelaki ke saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada Oktober depan.
Hendrawan bersama jurulatih lain akan menilai kesemua aspek termasuk prestasi semasa kesemua pemain sebelum membuat keputusan akhir menjelang pertengahan September ini.
Katanya, mereka sudah membuat perkiraan mengenai rekod pertemuan pemain sedia ada dengan pemain pasukan lawan di Piala Thomas selain sejarah penyertaan pemain negara dalam acara berpasukan seperti Piala Thomas.
Jika kita lihat kebanyakan pemain profesional berada pada kedudukan ranking (dunia) lebih baik berbanding pemain kebangsaan, apa pun sudah pasti kita akan pilih yang terbaik, katanya kepada BERNAMA.
Dalam pada itu, Hendrawan tidak menolak kemungkinan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia serta pemain pelapis, Leong Jun Hao akan kembali menjalani latihan seperti biasa selepas berakhir kem motivasi skuad kebangsaan di Pulau Tioman, Pahang pada awal September ini.
Kedua-dua pemain berkenaan mengalami kecederaan sewaktu menyertai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, baru-baru ini.
Lee Zii Jia hampir pasti bakal mengetuai barisan perseorangan lelaki negara berdasarkan prestasi semasa beliau, selain kedudukan ranking dunia yang menyaksikan beliau berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia ketika ini.
Dalam pada itu, Hendrawan berharap, kem motivasi yang akan diadakan di Pulau Tioman itu dapat digunakan sebaik mungkin barisan pemain negara untuk meningkatkan tahap kecergasan serta keserasian pasukan menjelang saingan sebenar Piala Thomas.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia yang merupakan juara 13 kali, selain Belanda dan England pada saingan Piala Thomas yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 11 Okt di Aarhus. – SM