Sukan

Peluang Hafizh kumpul mata untuk tiga baki pusingan

PERLUMBAAN kejuaraan motosikal dunia hanya berbaki tiga lagi pusingan dengan dua saingan akan diadakan di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, sebelum aksi penutup tirai bakal berlangsung di Portugal, 22 November ini.

Ketiga-tiga pusingan tersebut akan berlangsung dalam tempoh tiga minggu, bermula dengan Grand Prix Motosikal Eropah di Litar Ricardo Tormo, hujung minggu ini.

Justeru pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih memiliki tiga lagi peluang, untuknya mengumpul mata sebanyak mungkin sebelum musim ini melabuhkan tirai dan mengakhiri aksi 2020 dengan suntikan moral menerusi keputusan positif.

Mendapatkan keputusan yang baik, sambil berdoa motosikalnya berupaya mempamerkan prestasi konsisten sepanjang tiga baki saingan, amat penting buat Hafizh sebagai bekalan sokongan moral sebelum memulakan persiapan menjelang musim 2021 nanti.

Hafizh sendiri mengakui dia telah melakukan persediaan rapi untuk baki tiga perlumbaan tersebut.

“Saya telah membuat persediaan dengan baik untuk tiga perlumbaan ini.

“Di Aragon kami berjaya mengorak selangkah ke depan untuk mencatat keputusan sensasi dan berdasarkan keputusan itu kami akan memanfaatkannya untuk aksi di Valencia serta di Portimao (perlumbaan di Portugal).

“Saya berharap semuanya dapat berjalan dengan lancar dan cuaca tidak terlalu sejuk kerana ia hanya akan menambah kesukaran kepada kerja kami.

“Kami kini berada di laluan positif, dan bersedia untuk menyahut cabaran,” kata pelumba Aspar Team itu menerusi kenyataannya yang dikongsi di dalam Facebook, tengah malam tadi.

Menjelang perlumbaan di Valencia juga, Hafizh bakal mengumumkan pasukan baharunya untuk musim 2021.

Hafizh, 26, kini menghuni kedudukan ke-20 dalam kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2 setelah mengumpul 21 mata keseluruhan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button