Pasukan Layang-Layang dari Beijing, China berjanji akan membawa
lebih banyak layang-layang gergasi tradisi negara itu sempena Festival Layang-Layang yang akan diadakan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketuanya, Chuo Liew Biao, 39, berkata, pihaknya telah bersetuju untuk menyertai festival itu tahun depan dan akan membawa lebih daripada 20 pelayang bagi memeriahkan festival berkenaan.
Menurutnya, penyertaan pada Festival Layang-Layang Gergasi 2023 di Limbongan pihaknya tidak dapat membawa banyak layang-layang kerana ia diadakan selama dua hari.
“Saya dimaklumkan festival tahun depan akan berlangsung selama tiga hari dua malam dan lokasi yang besar akan dipilih.
“Kali ini kami akan bawakan lebih banyak layang-layang tradisional masyarakat China dalam pelbagai bentuk.
“Paling istimewa kami akan sediakan layang-layang gergasi bercahaya yang pastinya akan menggegar ruang udara di Melaka pada waktu malam,” katanya ketika ditemui selepas majlis Perasmian Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 yang telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Limbongan, petang semalam.
Liew Biao berkata, dia sangat teruja menyertai festival tahun ini walaupun tempoh yang singkat bagi mempamerkan pelbagai rekabentuk layang tradisional dari negara tersebut.
Sementara itu Ketua Pasukan Layang-Layang dari Macau, Ho Maa, 70, berkata, pihaknya juga turut menyatakan minat jika dijemput untuk menyertai festival sempena TMM 2024.
Katanya, jika pada festival ini mereka hadir dengan lima orang namun pada tahun depan seramai 10 ahli persatuan dijangka hadir serta mahu mempamerkan pelbagai reka bentuk layang-layang gergasi.
“Saya lihat festival layang di Melaka dapat sambutan yang baik daripada orang ramai dan kami gembira untuk menyertai festival ini dengan kapasiti yang lebih banyak.
“Festival dua hari sebenarnya tidak cukup dan tidak meriah berbanding jika diadakan untuk satu tempoh yang panjang,” ujarnya.
Katanya, dia berharap pihak penganjur dapat menyediakan kawasan yang lebih luas bukan seperti di Limbongan yang sempit dan menyukarkan buat pelayang ingin menaikkan layang-layang gergasi. – SM