Luar Negara

Pelayan dipecat selepas terima tip besar

DUA orang pelayan di Arkansas telah menerima tip sebanyak $4,400 (RM18,561), namun salah seorang daripada pelayan itu telah dipecat selepas pengurusnya menyuruh pelayan itu untuk berkongsi tip tersebut dengan kakitangan lain.

Pemberian itu diberikan daripada Grant Wise iaitu seorang ahli perniagaan yang makan di restoran Oven and Tap yang telah berpuas hati dengan servis dua pelayan itu.

Menurut laporan Fox 59, pada masa itu, Ryan Brandt dan seorang lagi pelayan lain sedang mengendalikan pesta untuk lebih 40 orang di restoran Oven and Tap di Bentonville.

Grant Wise memberitahu bahawa dia tahu para pelayan benar-benar terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bermurah hati untuk membantu mereka dengan memberikan tip itu.

Namun begitu, pengurus restoran mengarahkan Brandt untuk berkongsi tip itu dengan kakitangan lain yang tidak mengendalikan pesta tersebut.

Perkara seperti itu belum pernah terjadi selama tiga tahun wanita itu bekerja di sana.

“Saya diberitahu untuk memberikan wang tip kepada pengurus syif restoran dan saya akan membawa pulang 20 peratus,” katanya.

Apabila Wise, yang memiliki syarikat hartanah bernama Witley, mengetahui tindakan bos restoran itu, dia meminta restoran itu mengembalikan tip tersebut dan kemudian menyerahkan $2,200 (RM9,280) terus kepada Brandt.

Tetapi Brandt telah dipecat pada hari berikutnya.

“Mereka memecat saya dari Oven and Tap melalui telefon, setelah hampir empat tahun bekerja di sana dan ini benar-benar menyayat hati saya.

“Terutamanya apabila saya berfikir saya tidak melakukan sesuatu yang salah,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan, Oven and Tap berkata, Brandt dipecat atas sebab yang tidak berkaitan dengan insiden pemberian tip itu.

Restoran itu mendakwa ia ‘menghormati sepenuhnya’ permintaan pemberi tip yang bermurah hati untuk memberi ganjaran kepada dua pelayan mereka semasa di pesta itu.

“Selepas pesta itu, kumpulan tetamu ini meminta tip mereka diberikan kepada dua pelayan yang telah melayan mereka.

“Kami menghormati penuh permintaan mereka,” kata restoran itu.

Sementara itu, restoran itu juga tidak menyatakan sebab yang sebenar kenapa Brandt telah dipecat.

“Pelayan yang diberhentikan beberapa hari selepas pesta itu tidak diberhentikan kerana dia memilih untuk menyimpan tip,” katanya.

Menurut pengurusan restoran itu, seorang lagi pelayan wanita yang menerima tip besar pada petang itu daripada syarikat Witley masih lagi menjadi pekerjanya.

Sebagai tindak balas, Grant Wise telah memulakan pengumpulan dana GoFundMe untuk Brandt yang teleh berjaya mengumpul lebih daripada $8,700 (RM36,700) pada pagi Isnin lalu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button