Pelari menara nombor 1 Asia, Soh Wai Ching sasar rekod dunia
PELARI negara yang juga merupakan pelari menara nombor satu Asia dan nombor dua dunia, Soh Wai Ching, 26, mahu mencipta namanya dalam Guiness World Records (GWR).
Wai Ching mahu berlari mendaki tangga setinggi 1.3 kilometer dalam masa sejam pada 18 November nanti.
(Menurut laman web GWR, Hari GWR – akan berlangsung pada tarikh tersebut tahun ini – bakal menyaksikan ribuan orang di seluruh dunia bersama-sama dengan satu tujuan untuk memegang gelaran.)
Rekod semasa bagi pendakian tangga dipegang oleh pelari Sepanyol David Robles Tapia yang berlari sambil mendaki tangga setinggi 1.227 km di Zaragoza, Sepanyol, pada 20 Januari 2019.
Presiden Pengasas Persatuan Larian Menara Malaysia itu kini membuat persiapan untuk misi mendaki anak tangga bangunan 40 tingkat kira-kira 10 kali dalam satu jam termasuk masa di dalam lif untuk turun kembali ke tingkat bawah.
“Saya telah mengemukakan permohonan kepada GWR dengan harapan mendapat balasan positif yang akan mengambil masa kira-kira 10-12 minggu.
“Sasaran saya ialah untuk membanggakan Malaysia dan dikenali di seluruh dunia yang juga akan mempromosikan sukan ini selain memberi inspirasi kepada lebih ramai belia serta ahli sukan lelaki dan wanita semasa pandemik Covid-19 yang mencabar ini,” katanya.
Wai Ching berkata, beliau berharap dapat mencuba usaha berkenaan di bangunan ikonik seperti Menara Berkembar Petronas atau Four Seasons Hotel di sebelahnya.
“Lif mestilah laju dan tidak jauh dari tangga. Berdasarkan pengiraan, saya perlu menaiki bangunan 40 tingkat dalam masa 4 minit 48 saat, lif yang turun mungkin memakan masa sekitar satu minit.
“Jadi, secara tidak langsung saya mempunyai masa 10 saat untuk berjalan ke lif, dari lif atau mengambil minuman dan meneruskan larian,” katanya kepada BERNAMA.
Selain GWR, Wai Ching juga berharap dapat mengatasi Piotr Lobodzinski untuk kedudukan nombor satu dunia yang mendahuluinya dengan 964 mata setelah ketinggalan 10 mata.
Bekas pelari jarak jauh itu pernah mengecewakan Piotr buat pertama kalinya di Vertical Run Almas Tower di Dubai pada Februari lalu dengan menaiki menara 70 tingkat (1,450 anak tangga/ 245meter) dalam tempoh 7 minit 59 saat.
“Saya sangat berharap 2020 Eiffel Tower Vertical Run akan diadakan seperti yang dijadualkan pada 30 September dan saya dapat ke Paris untuk mengambil bahagian.
“Saya berjaya mengalahkan Piotr pada Februari dan tidak pernah kalah dalam lima acara yang saya sertai tahun ini.
“Saya bertambah baik dan semakin kuat. Jadi, saya yakin dapat merebut tempat nombor satu dengan mengalahkan Piotr sekali lagi, walaupun dia juara lima kali di sana.
“Sebagai latihan, saya berlari kira-kira 800 hingga 1,000 tingkat seminggu dan dengan acara semakin hampir, saya menambah berat 7-8 kg untuk membina kekuatan saya,” katanya.
Lulusan Sarjana Muda Sains Sukan Universiti Malaya (UM) itu berkata, walaupun ketika kawasan kediamannya di Selayang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, beliau meneruskan latihan naik turun kerusi sebanyak 3,000 kali sehari. – SM