Nasional

Pelantikan TPM: Jangan beri tekanan kepada Perdana Menteri

TIDAK perlu memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelantikan jawatan timbalan perdana menteri (TPM).

Pemimpin dan ahli UMNO terutama perlu bersangka baik dan tidak sepatutnya membuat spekulasi berhubung sama ada sahih atau tidak perjanjian pelantikan jawatan yang dikatakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim, kerana tindakan sedemikian berterusan, ia boleh menggugat perpaduan dalam parti.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, meminta semua pihak harus memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk membuat keputusan.

“Ismail Sabri adalah pemimpin UMNO tulen yang tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan parti.

Related Articles

“Tanggungjawab yang beliau pikul adalah besar, terutama dalam usaha menangani isu ekonomi dan kehidupan rakyat ketika ini.

“Justeru, adalah tidak wajar kita memberi tekanan kepada beliau dalam isu perjanjian berkaitan jawatan TPM. Secara prinsip, Perdana Menteri memang ada kuasa prerogatif yang termaktub dalam Perlembagaan untuk melantik mana-mana individu dalam Kabinet beliau,” katanya seperti yang dipetik dari BHOnline.

Beliau mengulas beberapa pengakuan pemimpin PN berhubung perjanjian persefahaman antara parti itu dengan Perdana Menteri, termasuk mengenai pelantikan TPM.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengaku membuat draf perjanjian mengenai jawatan TPM, sekali gus mengesahkan perjanjian itu wujud seperti dimaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dilapor mengesahkan perjanjian berkenaan tidak dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button