Pelancong meluahkan rasa teruja apabila mereka kini bebas berjalan tanpa gangguan sebarang kenderaan lalu lalang di hadapan bangunan Stadthuys apabila laluan itu ditutup selama enam jam pada Sabtu lalu.
Mereka menyifatkan keputusan kerajaan negeri menutup laluan itu dari persimpangan lampu isyarat Jalan Bendahara berdekatan Little India hingga ke Menara Taming Sari dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam sebagai keputusan yang tepat.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur Mohd. Fuad On, 44, pekerja swasta berkata, idea untuk menutup jalan itu adalah wajar kerana Melaka sebagai sebuah negeri yang mengutamakan pelancongan.
Menurutnya, sepatutnya ia telah dilakukan lama mencontohi beberapa negara luar yang menjadikan kawasan tumpuan pelancong bebas kenderaan bagi membolehkan mereka bebas bergerak tanpa risaukan keselamatan.
“Sepatutnya idea ini dah buat lama sebab kawasan bangunan merah ini banyak tempat tumpuan pelancong seperti Jonker Walk, bangunan Stadthuys dan kita lihat orang ramai seronok bebas berjalan tanpa rasa risau kenderaan lalu lalang tidak seperti sebelum
ini,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Bagi seorang lagi pelancong, Muhammad Hafiz Jamil, 27, dari Batu Pahat, Johor berkata, dia dan isterinya merasa terkejut laluan masuk ke Bandar Hilir ditutup bagi membolehkan orang ramai bebas berjalan di kawasan tumpuan pelancong.
“Saya rasa meriah kerana orang ramai boleh berjalan di tengah jalan kalau tak sebelum ini bila kita nak berjalan agak susah sikit sebab banyak kereta lalu lalang bila dah tutup macam ini rasa mudah kita nak ke sana sini,” ujarnya yang bekerja dengan syarikat swasta.
Katanya, walaupun terpaksa meletakkan kenderaan jauh namun baginya dia merasa puashati dapat berjalan bebas di kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir.
Sementara itu seorang penduduk tempatan Michael Lee, 60, pesara kakitangan swasta berkata, dia menyifatkan keputusan kerajaan negeri menutup jalan bagi memudahkan pelancong bebas bergerak adalah wajar.
Katanya, ini kerana Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan perlu melakukan sesuatu yang menarik kedatangan pelancong lebih ramai ke sini.
“Saya memang suka jalan ini ditutup sebab saya boleh berjalan dan bersiar-siar tanpa gangguan kenderaan lalu lalang dan situasi ini amat sesuai untuk pelancong,” katanya.
Bagaimanapun katanya, soal kesesakan dan kemudahan tempat letak kenderaan sewajarnya diberikan perhatian serius dan diperhalusi oleh pihak yang bertanggungjawab. – SM