Pelancong asing sebak, alunan selawat bergema di Bukit Bintang
Pelancong asing yang beragama Islam sebak apabila melihat segerombalan umat Islam Malaysia berada di Kuala Lumpur menganjurkan program Bukit Bintang Berselawat secara sukarela.
Biarpun tujuan asal (pelancong asing) hanyalah untuk berlibur di Bukit Bintang, mereka tidak menyangka dapat bersama meraikan Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW.
Ujar Ahmet Eymen dari Turki, program Bukit Bintang Berselawat adalah satu pengalaman luar biasa kerana dia tidak menyangka orang-orang Malaysia begitu kasih kepada Baginda Rasulullah SAW.
“Malam ini sungguh ajaib. Dari jauh saya dengar ada bunyi berselawat. Saya fikir ia cuma audio daripada pembesar suara. Rupa-rupanya ada perarakan yang sebegini ramai.
“Lain negara, lain cara sambutannya. Tapi saya fikir, cara Malaysia meraikan Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW jelas sangat unik dan membuatkan saya terharu,” katanya.
Ahmet berkata demikian mengulas sambutan umat Islam di Kuala Lumpur yang meraikan Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal 1445H.
Pergerakan Bukit Bintang Berselawat melibatkan lapan lokasi terpilih (check point) bermula pukul 9.30 malam dan berakhir di Pavillion sekitar pukul 10.30 malam.
Selain melibatkan pergerakan daripada satu lokasi ke satu lokasi, Bukit Bintang Berselawat turut dimeriahkan dengan aktiviti ringkas seperti pemberian bunga serta coklat.
Pemberian bunga serta coklat itu adalah simbolik kepada kedamaian dan keharmonian yang diterjemahkan Baginda Rasulullah SAW dan menjadi ikutan umat Islam seluruh dunia.