Nasional

Pelan imunisasi Covid-19 fasa pertama akan dilakukan sebaik bekalan vaksin tiba

TIADA tangguh-tangguh. Pelan imunisasi Covid-19 fasa pertama akan terus dilaksanakan sebaik bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada 26 Februari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata,  persediaan rapi sudah dilakukan termasuk sesi latihan  penghantaran vaksin itu ke Klinik Kesihatan Belaga di Sarawak pada 29 Januari dan Hospital Bintulu pada 30 Januari berjaya dilaksanakan tanpa sebarang isu.

Katanya, ia bagi memastikan bekalan vaksin dari kilang syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer, di Puurs, Belgium yang menggunakan bekas ultra sejuk sampai di Malaysia tanpa sebarang masalah.

“Ini adalah latihan yang amat penting kami dan ia berjaya dilaksanakan dan data pengelog menunjukkan, tiada isu atau kelemahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memperkenalkan aplikasi pendidikan dalam talian mengenai COVID-19 di Putrajaya

Mengenai kemudahan penyimpanan vaksin Covid-19, beliau berkata,  bagi fasa pertama yang dilengkapi kemudahan seperti Penyejuk Suhu Ultra Rendah (ULTF), bagi memastikan suhu yang bersesuaian untuk penyimpanan vaksin, sebelum dikeluar dan diagihkan kepada tempat vaksinasi, telah dikenal pasti.

Mengenai aplikasi pendidikan mengenai COVID-19 itu, Dr Adham berkata platform pendidikan idea ahli biokimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan penganalisis isu global Peter Chew itu, menerapkan kesedaran dan pendidikan mengenai ikhtiar hidup, dengan mengelak daripada dijangkiti COVID-19.

“Pendidikan asas juga penting untuk disampaikan kepada masyarakat, khususnya mereka yang jauh dari fasiliti kesihatan supaya lebih peka tentang amalan norma baharu seperti pengasingan diri, guna pelitup muka, kerap mencuci tangan serta mengelak tempat sempit, apabila wabak berlaku di kawasan mereka,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button