Ekonomi

Pelaksanaan pembayaran bersama produk insurans, takaful perubatan dan kesihatan

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memberikan penjelasan berkenaan dengan pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) bagi produk  insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance and takaful, MHIT).

Dokumen Dasar Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan bertujuan untuk menggalakkan penawaran MHIT yang berterusan dan lebih mampu milik berikutan inflasi kos perubatan yang terus meningkat. Pada tahun
2023, Malaysia mencatatkan inflasi kos perubatan sebanyak 12.6%, yang jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 5.6%.

Berkuat kuasa 1 September 2024, penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama.

Pengguna yang telah membeli produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama boleh mengekalkan produk MHIT sedia ada mereka.

ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu.

Dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk MHIT pada kos yang lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka. Produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian semasa, tahap premium/sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati lebih rendah sebanyak 19% hingga 68% berbanding dengan produk yang serupa tetapi tidak
mempunyai ciri-ciri tersebut.

Tahap premium/sumbangan ini bergantung pada tahap pembayaran bersama yang dipilih. ITO juga dikehendaki menawarkan pelbagai tahap pembayaran bersama yang memenuhi keperluan kewangan dan situasi pengguna yang berbeza-beza.

Pembayaran bersama juga tertakluk pada had maksimum yang ditetapkan oleh ITO bagi mengehadkan jumlah
perbelanjaan yang ditanggung oleh pemilik polisi/peserta takaful.

Bagi meningkatkan lagi tahap mampu milik MHIT serta melindungi kepentingan pengguna, Dokumen Dasar Perniagaan juga menetapkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh ITO seperti yang berikut:
• Pembayaran bersama tidak terpakai dalam keadaan berikut:
▪ Rawatan kecemasan, termasuk untuk kes kemalangan;
▪ Rawatan pesakit luar untuk rawatan susulan bagi penyakit kritikal seperti kanser, atau dialisis buah pinggang; dan
▪ Rawatan di fasiliti kesihatan Kerajaan.
• ITO perlu memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada sebarang kesulitan kewangan atau keadaan yang dihadapi oleh pemilik polisi/peserta takaful. ITO boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberikan pengecualian terhadap pembayaran bersama dalam keadaan sedemikian.

Pengambilan produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama yang lebih meluas secara beransur-ansur bertujuan untuk membantu membendung inflasi kos perubatan di Malaysia melalui kawalan terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berlebihan.

Langkah ini dilaksanakan bersama-sama pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang
terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan yang telah diterbitkan oleh Kerajaan.

Ini termasuk meningkatkan ketelusan kos perubatan supaya pengguna dapat membuat pilihan yang sesuai apabila mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Oleh itu, pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) diperlukan untuk membendung inflasi kos perubatan sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan (healthcare value chain). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button