Nasional

Pelaksanaan Governan Baharu perkasa semula penstrukturan KUIPs

KOLEJ Universiti Islam Peiw (KUIPs) membuka tirai Tahun Baharu 2024 dengan langkah lebih dinamik apabila memperkenalkan Pelaksanaan Governan Baharu bagi memperkasa semula penstrukturannya.

Rektornya Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, inisiatif penstrukturan semula ini dibuat selepas penganjuran siri “Management Retreat” dan semakan semula Pelan Perniagaan dan pelan Strategik KUIPs 2021 -2025 pada Disember tahun lalu.

Muhamad Rozaimi bergambar dengan kakitangan KUIPs sempena majlis Townhall Governan 2024 di Dewan Auditorium KUIPs hari ini.

“Hasil semakan diperingkat pengurusan kami menyedari keperluan pembangunan kerja holistik menerusi program bakat berprestasi tinggi perlu bagi menambahbaik KUIPs,” katanya ketika berucap pada majlis Townhall Governan 2024 di Dewan Auditorium KUIPs hari ini.

Muhamad Rozaimi berkata, penstrukturan ini dilihat lebih jelas dengan bidang tugas masing-masing di pusat, fakulti, jabatan, bahagian dan unit-unit serta mengelakkan pertindihan fungsi.

Di samping itu, katanya ia boleh mengawal kos operasi agar sesuai dengan strategi pengoptimuman bajet operasi tahunan nanti.

Beliau yakin pelaksanaan governan baharu ini kelak akan membantu KUIPs dalam mewujudkan tadbir urus yang cekap, sistematik dan berintegriti dalam pentadbiran melalui pertukaran staf, pelantikan pegawai tadbir ke jawatan yang tinggi sekali gus menunjukkan kepercayaan pihak pengurusan bahawa pentadbir mampu melaksanakan tugas-tugas yang sepatutnya dibuat oleh pentadbir dan bukannya staf akademik.

Muhamad Rozaimi (tengah) menyampaikan watikah kepada salah seorang dari penjawat baharu pada majlis Townhall Governan 2024 di Dewan Auditorium KUIPs hari ini. – Gambar Ihsan KUIPs

“Moga pengemaskinian dan pembaharuan organisasi ini dapat dilaksanakan seiring dengan perkembangan persekitaran semasa agar sistem penyampaian perkhidmatan dapat berjalan dengan lancar dan berkesan nanti,” katanya.

Sempena majlis ini, Muhamad Rozaimi turut mengumumkan penstrukturan baharu ini dan menyampaikan watikah kepada 22 penjawat baharu.

Ia melibatkan Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti; Prof Madya Dr Bibi Noraini Mohd Yusuf, Pengarah Pusat Islam; Mohd Roesfan Sazzerin Mohd Sofi, Pengarah Jabatan Canselori; Muhammad Syazuwan Ahmad, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelengaraan; Mohamad Adha Abd Rashid,

Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat; Mohd Zaki Shahabuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Mohd Husni Abdullah, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Mohd Hanif Mohamadan.

Penstrukturan baharu ini telah diluluskan melalui Mesyuarat kali ke-42 Lembaga Pengarah KUIPs yang bersidang pada 11 Disember 2023 dan berkuatkuasa 1 Januari 2024. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button