Hiburan

Pelakon pertikai bayaran tak setimpal pengalaman lakonan

ISU berkenaan bayaran terhadap pelakon terutamanya melibatkan pelakon yang berpengalaman atau veteran sudah beberapa kali timbul sebelum ini.

Antara yang selalu dibincangkan ialah bayaran artis lama yang rendah berbanding dengan pelakon baharu dibayar lebih tinggi kerana lebih dikenali.

Ada yang juga yang sebelum ini membandingkan perbezaan antara industri seni tempatan dengan Hollywood yang menghargai dan menilai harga seorang pelakon itu berdasarkan pengalaman mereka.

Baru-baru ini, pelakon, Nazia Mustafar memuat naik status di akaun Instagramnya memberitahu dia menerima tawaran lakonan dengan harga yang begitu rendah.

“Tawaran penggambaran selama empat hari, 28 scene dan dibayar RM1,500. Ini namanya melampau!

“Lain kali sebelum hubungi artis nak beri tawaran lakonan, kenal pasti dahulu siapa artis itu.

“Saya tidak marah cuma kali ini saya rasa perkara ini sangat melampau,” katanya.

Malah, Nazia turut menempelak individu yang menawarkan kerja lakonan itu kerana bersikap kurang ajar dengannya.

“Bahasa yang digunakan agak kurang ajar. ‘Kalau tak mahu, takpelah sebab ramai lagi artis lain yang nak’. Biadap betul,” luah Nazia.

Ternyata apa yang diluahkan Nazia itu turut mendapat reaksi pelbagai daripada rakan-rakan yang lain.

Antara yang berkongsi rasa dengan Nazia ialah Azhan Rani, Mimi Ernida, Azza Elite dan Sharifah Shahirah.

Namun, Nazia kemudian memuat naik status terbaharu dan memberitahu yang dia sudah memaafkan tindakan individu tersebut. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button