Nasional

Pelajari pengalaman Vietnam untuk kembalikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat – PM Anwar

HANOI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia boleh mempelajari pengalaman Vietnam yang mampu membangun dan bangkit semula selepas hampir musnah, kesan penjajahan Perancis serta campur tangan Amerika di negara itu.

Anwar berkata kesan daripada kemusnahan itu, ramai rakyat Vietnam terpaksa melarikan diri termasuk ke Malaysia disebabkan kekacauan di negara asal ketika itu yang bukan sahaja tidak selamat tetapi ekonominya turut terjejas teruk.

“Penderitaan rakyat Vietnam (ketika zaman kekacauan) sebagaimana kita tahu, di Malaysia ramai yang kenal orang pelarian, orang yang diusir dan terpaksa lari kerana masalah ekonomi dan perubahan yang mengejutkan.

“Tetapi seperti mana kita tahu, dia (Vietnam) boleh meningkat maju sebagai kekuatan (kuasa) ekonomi yang menakjubkan dan di antara negara membangun yang paling berjaya di dunia.

“Ini pertamanya kerana, kesatuan yang dahulunya pecah kepada Vietnam Utara dan Selatan yang menjadi satu, dan fokus rakyat negara itu ialah kesatuan dan perpaduan dengan matlamat yang jelas membangunkan negara dan membela nasib rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar bersama media Malaysia sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas lawatan rasmi dua hari ke Vietnam.

Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Hanoi petang semalam untuk lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Anwar berkata kalau pada tahun 1990-an, Vietnam banyak bergantung dan belajar dari Malaysia yang berkembang maju terutama dalam sektor kewangan dan perbankan namun kini Vietnam sudah mendahului Malaysia dalam beberapa sektor.

“Tetapi kerana Vietnam bersatu, mereka tumpu kepada ekonomi dan saudara juga tahu ada beberapa tindakan tegas (ketegasan) soal tata kelola dan antirasuah.

“Ini maknanya tata kelola itu diutamakan, membersihkan negara daripada pengaruh-pengaruh yang boleh melemahkan, sendi negara itu,” katanya lapor BERNAMA

Sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur Perdana Menteri dan delegasi melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, TYT Vo Van Thuong. 

Anwar telah menzahirkan rasa puas hati terhadap hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan Vietnam, dalam hantaran ke Facebook beliau.  

Tidak dapat dinafikan, kedua-dua negara mempunyai kerjasama ekonomi yang kukuh dan Perdana Menteri percaya masih terdapat banyak peluang kerjasama baharu yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara terutamanya dalam bidang pertanian dan industri halal.

Beliau juga mengambil kesempatan menerangkan dasar-dasar baharu negara kepada Presiden Vo Van Thuong semasa pertemuan ini.

Perdana Menteri turut menjemput Presiden Vo Van Thuong untuk berkunjung ke Malaysia dalam waktu terdekat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button