Pendidikan

Pelajar UPSI meninggal dunia beberapa hari sebelum dijadual terima ijazah

SUASANA hiba menyelubungi sesi terakhir majlis Istiadat Konvokesyen ke-22 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), apabila waris kepada Muhammad Raihan Mohd Rashid naik ke pentas mewakili arwah menerima ijazah semalam.

Muhammad Raihan Mohd Rashid adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) Fakulti Sains Sukan Dan Kejurulatihan UPSI.

Allahyarham yang dijadualkan menerima ijazah tersebut pada sesi keempat (Selasa) meninggal dunia Ahad lalu di rumah sewanya.

Abang arwah, Muhammad Ridzwan, 26 yang menerima ijazah bagi pihak adiknya secara anumerta berkata, Muhammad Raihan ada menghubungi beliau mengadu mengalami batuk berdarah dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Slim River hingga ditahan wad.

“Selepas arwah adik dikeluarkan dari wad pada hari Jumaat keesokan harinya dia ajak rakan serumahnya bersiar-siar. Rakan-rakan serumah arwah melayan kehendak arwah keluar bersiar-siar sehingga larut malam tanpa menyedari bahawa itu ada permintaan terakhir arwah.

“Sepanjang seharian arwah keluar bersama rakan-rakannya, arwah tidak mahu makan sebaliknya hanya menjamah sesudu bubur nasi sahaja pada hari tersebut. Keesokan harinya, pada Ahad pagi, ayah kami di kampung mendapat panggilan daripada rakan-rakannya menyatakan arwah mengalami muntah darah dan sesak nafas.

“Selepas mendapat berita tersebut saya yang tinggal di Kuala Lumpur bergegas ke rumahnya di Tanjung Malim, namun doktor yang datang ke rumahnya untuk mengesahkan arwah sudah mengehembuskan nafas terakhir,” katanya.

Sementara itu adik perempuan arwah, Mastura, 22 berkata abangnya seorang penyayang dan ceria malah selalu bertanya khabar tentang keadaan adik-adiknya dari segi pembelajaran malah suka mengusiknya memandangkan Mastura satu-satunya adik perempuan dalam keluarga.

“Abang pemurah dan selalu belanja kami di pasar malam hasil pendapatan kerja sampingan yang dilakukan ,” katanya.

Sejurus selesai majlis istiadat, ProCanselor, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Naib Canselor , Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin bertemu dengan ahli keluarga arwah di Dewan Tuanku Canselor.

Naib Canselor UPSI Md Amin Md Taff mengucapkan takziah dan menyifatkan arwah seorang yang sangat aktif dan disenangi oleh ramai pensyarah dan teman-temannya di UPSI.

“Arwah kerap menjadi ketua fasilitator menjayakan banyak program-program luar semasa pengajianya,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button