Pelajar perlu bijak kawal emosi hadap jadual padat sekolah
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pelajar perlu bijak dalam mengawal emosi, sentiasa positif dan mengawal tekanan terutamanya dalam menghadapi jadual dan aktiviti persekolahan yang padat, termasuklah sebarang program di luar bilik darjah seperti aktiviti sukan atau kelas tambahan.
Baginda bertitah, pembentukan disiplin di kalangan pelajar pula haruslah seiring kerana individu yang berjaya mempunyai tahap disiplin diri yang tinggi.
Titah Baginda, kecederaan emosi seperti bersikap tenang semasa di bawah tekanan juga membolehkan para pelajar untuk mentafsir, memahami dan menguruskan emosi diri sendiri dan juga orang di sekeliling mereka.
“Pelajar juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu, berpegang teguh kepada agama, serta meningkatkan pembangunan sahsiah bagi melengkapkan modal insan yang berkualiti tinggi sekali gus dapat melahirkan generasi yang syumul”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin yang melibatkan seramai 542 pelajar tingkatan 1 hingga 3.
Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke progran bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu disambut oleh Pengetuanya, Wan Zaini Wan Saad .
Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir serta Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin.
Sekolah ini telah memperoleh pencapaian yang baik bagi GPS SPM pada tahun 2022 yang meningkat iaitu dari 5.80 pada tahun 2021 ke 5.62 pada tahun 2022.
Bilangan pelajar STPM yang mendapat 4A pada tahun 2021 ialah seorang dan pada tahun 2022 bilangan pelajar yang mendapat 4A meningkat kepada 2 orang.
Pencapaian sukan di SMK Syed Sirajuddin juga amat membanggakan terutamanya dalam sukan tinju.
Pelajarnya telah muncul johan dalam Kejohanan ‘Enter The Dragon’ kategori junior Cage Boxing 46kg di Pulau Pinang dan berjaya menjadi johan serta menjadi petinju terbaik dan berpotensi dalam Kejohanan Tinju Bakat Kebangsaan 2023.
Pasukan ragbi sekolah pula telah menjadi Naib Johan dalam Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) Bawah 15 Tahun dan mewakili negeri Perlis di peringkat kebangsaan.
Sekolah ini juga menjadi Johan Peringkat Akhir Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah MAGGI 2023.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian bagi bilik rehabilitasi sukan yang merupakan bilik rawatan khusus buat atlet SMK Syed Sirajuddin menjalani rawatan bagi sebarang kecederaan dan memendekkan jangka masa kecederaan dengan bantuan alatan dan teknik yang terkini. – SM