Pelajar kecewa Peduli Siswa tiada pengurangan 100% seperti dijanjikan
SEORANG bekas pelajar diploma cemerlang kecewa selepas diminta untuk membayar keseluruhan pinjaman boleh ubah Peduli Siswa Selangor yang dibuatnya pada tahun 2017.
Amira Syuhaida Anuaruddin yang berkongsi masalahnya di Facebook berkata, dia teruja untuk belajar bersungguh-sungguh selepas dapat tahu Peduli Siswa menawarkan peratus pengurangan 100 peratus bagi pelajar yang mendapat PNGK 3.75 ke atas.
Dia akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan berharap mendapat pembiayaan percuma bagi pendidikan diploma seperti yang dijanjikan.
Bagaimanapun menurutnya, tepat sewaktu tamat belajar diploma dan pada hari beliau masuk ke alam ijazah pada tahuN 2019 Kerajaan Selangor telah meminda syarat tersebut dan pindaan itu turut terpakai untuk semua peminjam lama.
“Dan saya harus membayar semula semua pembiayaan saya dan hanya mendapat potongan pengurangan maksima 10 peratus sahaja.
“Saya berkali-kali naik turun pejabat kerana kira saya ini tidak adil buat saya sebagai peminjam lama.
“Bayangkan saya sepatutnya tidak perlu membayar seperti yang dijanjikan kalau capai tahap akademik yang tertentu, tiba tiba kena bayar RM 13,000 dengan segera walhal saya masih seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Semester 5 yang terkontang-kanting menguruskan kewangan,” kata Amira Syuhaida di Facebooknya.
Sementara tu, Urusetia Jawatankuasa Tetap Pendidikan Tinggi Negeri Selangor dalam satu kenyataan meminta pelajar berkenaan meneliti butir perjanjian yang telah ditandatangani.
Menurut urusetia terbabit, permohonan bayaran balik adalah tertakluk kepada dasar semasa iaitu bukan pada kadar yang dicadangkan dahulu.
“Perkara ini telah digariskan dengan jelas dalam para 15 Surat Tawaran asal di bawah subjek Bayaran Balik Pinjaman.
“Yang menyebut: Pelajar yang menerima Pinjaman Pelajaran (Program Khas Peduli Siswa) adalah layak untuk memohon pengurangan bayaran balik setelah taman pengajian dengan jayanya tertakluk kepada syarat-syarat dan dasar semasa yang telah ditetapkan oleh Lembaga,” kata urusetia terbabit.
Menurutnya, penerima Peduli Sihat dimaklumkan tentang ‘dasar semasa’ sekurang-kurangnya tiga kali iaitu secara bertulis dalam Surat Tawaran perjanjian Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor dan secara lisan dan juga secara bertulis dipaparan sewaktu sesi penyerahan dokumen perjanjian.
Dasar semasa ketika ini bagi pelajar peringkat diploma yang mendapat PNGK minimum 3.77 berhak mendapat pengurangan bayaran balik pinjaman sebanyak 25 peratus.
Urusetia terbabit turut menawarkan moratorium bersasar untuk para penerima peminjam yang masih belum mendapat pekerjaan.-SM