Pekerja zoo maut tak sangka gajah “makan tuan”
Seorang pekerja zoo di Sepanyol terbunuh kerana dirempuh oleh seekor gajah yang menyebabkan kecederaan dibahagian kepalanya.
Gajah betina yang beratnya sekitar 4,000 kilogram dikatakan merempuh pekerja lelaki yang berusia 44 tahun itu dengan belalainya pada pagi Rabu lalu di Cabarceno Natural Park berdekatan utara bandar Santander, Sepanyol.
Menurut kakitangan zoo berkenaan, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama beberapa pekerja lain sedang membersihkan kandang gajah sebagai sebahagian dari tugas harian mereka.
Akibat dari rempuhan itu, kepala pekerja zoo berkenaan tercedera kerana terhentak palang kandang berkenaan.
Dia kemudian dikejarkan ke hospital bagaimanapun maut kerana kecederaan yang dialaminya kira-kira tiga jam kemudian.
Menurut Menteri Pelancongan di daerah Cantabria, Javier Lopez Marcano, yang merupakan pemilik zoo berkenaan, gajah adalah haiwan yang perilakunya tidak dapat diramalkan, begitu juga dengan kejadian ini.
“Rumpuhan dari gajah itu sangat kuat dan luar biasa, sesiapa pun tidak akan dapat bertahan”, tambahnya.
Polis dan pemilik zoo mengatakan mereka telah memulakan siasatan dan ini adalah kejadian kali pertama sejak penubuhan zoo ini selama 31 tahun.