Pekerja teknikal perlu sentiasa diperlengkapkan dengan kemahiran terkini
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pekerja bidang teknikal perlu sentiasa diperlengkapkan dengan kemahiran terkini berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.
Baginda bertitah, perkembangan global terkini khususnya Revolusi Industri 4.0 berpaksikan kepada teknologi yang terbaru mensasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan yang lebih pantas, pintar dan dinamik.
“Kejayaan sesebuah negara tidak akan dapat dicapai tanpa adanya sumber tenaga kerja yang terlatih, kompetitif dan mempunyai kepakaran dan keupayaan semasa,” titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 di Dewan 2020, Kangar hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis, Ir. Mohd Shahril Mohd Said.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Datuk Ir. Badioezaman Ab Khalik.
Penganjuran HPTN 2023 yang bertemakan “Profesion Teknikal Pemacu Pembangunan Malaysia Madani” julung kalinya telah dianjurkan oleh JKR Negeri Perlis.
Mohd Shahril dalam ucapannya menyatakan, objektif utama HPTN ini adalah bertujuan menghargai jasa para profesion teknikal atas sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur dan pemodenan negara.
“HPTN juga merupakan platform bagi Profesion Teknikal menyuarakan pandangan dan idea-idea bernas dan mempromosi profesion teknikal dengan menerapkan elemen bidang teknikal dalam kalangan generasi muda”, ujar beliau lagi. – SM