BeritaPolitikPRK

Peja bakal disembelih seperti Khalid Ibrahim

KITA telah melihat bagaimana langkah Kajang diadakan oleh PKR semata-mata untuk menggulingkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan menaikkan Datuk Seri Azmin Ali.

Selepas melangkah ke persekutuan kini Azmin pula sedang berlaga angin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bergerak untuk menjatuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad jika Perdana Menteri itu masih enggan menyerahkan jawatannya pada tahun hadapan.

Di Perak pula Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja kini menghadapi serangan pusingan kedua oleh Aziz Bari yang sebelum ini memang sentiasa merasakan beliau paling layak untuk menduduki jawatan itu.

Khalid dipancung kerana tidak digemari akibat dituduh `kedekut’ dan terlalu mengikut buku, manakala Peja pula terlalu lurus. Sikap sedemikian apabila melibatkan DAP alamatnya mengundang bala. Jadi mampukah Peja bertahan dan mempertahankan jawatan Menteri Besar Perak yang sedang disandangnya sekarang?

Semalam, viral satu klip video yang memperlihatkan Aziz Bari, ADUN DAP Tebing Tinggi yang berkongsi penyakit meroyan dengan Anwar, berusaha memujuk tiga orang ADUN UMNO agar menyokongnya sebagai Menteri Besar Perak yang baru, sekaligus ‘memancung’ Peja.

Dalam video lima minit yang dimuatnaik di YouTube oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin, Aziz didengar merujuk kepada seorang lelaki PPBM yang bergelar “Haji”, yang memberitahunya mereka mahu menggantikan Faizal.

“Dia cadangkan saya (sebagai menteri besar baru), saya kata ‘okaylah’. Lepas jumpa ada orang yang cukup ini, akan jumpa dengan Tuanku (Sultan Perak),” kata Aziz yang berdepan seseorang yang tidak dikenali.

Dia  juga mendakwa ada bercakap dengan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bagi mendapat sokongan daripada enam ADUN parti itu di Perak dan dengan sokongan PKR, dia boleh mendapat sokongan 28 ADUN Perak.

Aziz berkata dalam video itu berkata, rakan-rakan exconya, bekas menteri besar Mohamad Nizar Jamaluddin serta Asmuni Awi, yang kini bersama Amanah, tidak layak untuk jawatan MB.

Aziz bila ditanya isu itu berkata, ia perkara yang lama. Tetapi persoalannya mengapa sekarang ia dibocorkan. Setelah Peja ketika membantu kempen calon PPBM di PRK Tanjung Piai pada 7 November lalu, memberitahu pengundi beliau bersendirian melawan DAP di Perak dalam mempertahankan hak-hak dan tanah orang Melayu.

Pengakuan Peja itu ditularkan dalam media sosial ketika beliau berkempen bersama calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini. Rakaman video klip berdurasi dua minit 46 saat itu kemudiannya dimuat naik ke Facebook.

Peja terselamat apabila Dr. Mahathir menyatakan beliau telah berpuas hati dengan penjelasan pemimpin Bersatu itu dan tiada tindakan akan dikenakan. Bagi membalas serangan itu DAP membebaskan pemimpinnya Ronnie Liu daripada tindakan oleh jawatankuasa disiplin kerana mengkritik Dr. Mahathir sebagai harimau kertas yang tidak lagi berguna kepada PH selepas membantu gagasan itu memenangi pilihan raya lalu.

Pakatan Harapan Perak sekarang ini hanya bergantung kepada belas ihsan ADUN-ADUN UMNO sahaja setelah dua ADUN UMNO melompat menyokong Peja, membolehkan Pakatan menjadi Kerajaan Negeri di Perak. 

Terbocor video itu pastinya juga permainan DAP. Permainan halus ini sengaja dibuat kerana mereka tidak mahu terlalu mendesak kerana akan membahaya mereka sendiri. Jika Peja memutuskan untuk bersama dua ADUN UMNO menyokong Muafakat Nasional, maka tamatlah riwayat kerajaan PH di Perak.

Jadi DAP mahu memencilkan Peja, pada masa yang sama sokongan sedia ada kekal dan akhirnya beliau akan meletakkan jawatan sebagaimana berlaku kepada Khalid di Selangor.

+

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button