fbpx
PRK

Rakyat gelisah, gundah gulana kerana rejim PH – Tok Mat

SELAMA setahun lapan bulan Pakatan Harapan memerintah negara telah menyaksikan buat kali pertama rakyat merasa gelisah dan gundah gulana.

Ini ekoran semakin hari, keadaan politik negara semakin tidak stabil dan PH pula tidak ada idea untuk menguruskan negara, sebaliknya berterusan menyalahkan Barisan Nasional (BN).

“Dah 18 bulan PH menang PRU tapi tak buat apa-apa dan tak ada langsung idea mengurus negara. Uruslah negara dan jangan asyik mengatakan BN tak buat apa-apa.

“Tiada satu benda yang dapat dilihat yang menyedap dan menyenangkan hati kita. Setiap apa yang keluar dari jemaah Menteri PH semuanya menyakitkan hati, menyebabkan rakyat resah gelisah serta keadaan politik tanah air amat tidak menentu sekarang ini.

“Selepas PRU ke-14 keadaannya amat tidak menentu sekali. Kepimpinan kerajaan PH tidak nampak hala tuju langsung untuk membangunkan negara untuk keadaan yang lebih baik sebagaimana yang mereka janjikan. Katanya, Malaysia Baharu dan mahu membawa Malaysia yang lebih telus, terbuka serta mengamalkan undang-undang ke atas keluhuran perlembagaan tapi nampaknya tak ada,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.


Beliau berkata demikian dalam majlis Muafakat Nasional Penyatuan Ummah di Kampung Sawah, Khamis.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengenakan permit semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

“Perkara kecil ketika berkempen di Tanjung Piai ini apabila BN hendak berkempen dari rumah ke rumah pun kena mengambil ‘permit’. Jentera BN tidak boleh pergi hendak menghantar ‘handbill’.

“Pedulikanlah… kalau kita terpaksa mengambil permit untuk pergi rumah ke rumah memang kerajaan sekarang ini dah tak siuman lagi … dan memang takut nak kalah.

“Saya tak tahulah apa undang-undang yang telah mereka letakkan, tapi Alhamdulillah… hari ini Peguam Negara telah menyatakan kesilapan ini,” katanya.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button