Peguam dakwa Anwar minta pengampunan dua kali
Seorang peguam telah mencabar kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai pengampunan diraja yang diberikan oleh Sultan Muhammad V semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2018.
Rafique Rashid turut berkongsi salinan perintah Anwar untuk pengampunan dan pembebasan serta-merta, menunjukkan presiden PKR itu telah memohon pengampunan dua kali, pada 2015 dan 2017.
Kedua-dua kali, permohonan ditolak oleh Lembaga Pengampunan.
Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar selepas didapati bersalah meliwat.
Menurut dokumen itu, mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 16 Mac 2015 dan 27 Feb 2017 telah mempertimbangkan rayuan banduan dan fakta kes.
Lembaga Pengampunan bagaimanapun menasihatkan supaya hukuman penjara lima tahun Anwar diteruskan.
“Dan adalah munasabah pada pendapat Baginda bahawa belas kasihan harus diberikan kepada Anwar Ibrahim,” kata dokumen yang ditandatangani oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.
Ia diteruskan dengan titah raja supaya Anwar diberi pengampunan penuh dan dianggap tidak pernah melakukan kesalahan, dan segera dibebaskan.
Rafique berkata dokumen itu menunjukkan Anwar pernah memohon pengampunan sebelum ini, dan permintaannya telah ditolak.
“Perdana Menteri, tolong berikan fakta yang betul,” tambahnya.
“Lembaga Pengampunan adalah di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Dalam apa jua keadaan, adalah jelas bahawa anda telah dua kali, pada 2015 kemudian pada 2017, cuba mendapatkan pengampunan tetapi anda tidak berjaya. Biarkan rekod bercakap.”
Beliau juga berkata rayuan pengampunan itu hanya untuk kes liwat kedua Anwar dan tidak termasuk kes salah guna kuasa terhadapnya semasa menjadi timbalan perdana menteri pada 1998.
“Itu kekal sebagai kesalahan yang mana hukuman telah dijatuhkan.”
Di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata beliau tidak pernah memohon pengampunan, dan menerimanya atas inisiatif Sultan Muhammad V.