Nasionalpilihan

Anwar Ibrahim tidak pinggirkan inisiatif Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023

Biar pun negara menerima peralihan Kerajaan yang diterajui Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meminggirkan inisiatif-inisiatif Keluarga Malaysia yang pernah dibentangkan sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Naib Presiden UMNO mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Anwar tanpa prejudis serta bersifat terbuka.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan inisiatif-inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

“Inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Oktober 2022 lalu, yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Ismail, inisiatif Keluarga Malaysia dahulunya mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun depan.

Antara inisiatif-inisiatif Bajet 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini ialah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Musim Tengkujuh, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 dan Bantuan Khas Kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.

Malah Kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi.

“Keputusan Kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion, dan memberikan subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat.

“Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat akan terus terbela,” katanya.

(Visited 310 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button