MahkamahNasionalNegeri

Pegawai Penyiasat berpangkat Inspektor dihadap ke mahkamah atas tuduhan merogol

Tertuduh turut berhadapan tiga pertuduhan amang seksual, mangsa yang sama

SEORANG anggota polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada akhir bulan lepas.

Mohd Maliki Azmi, 34, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Tertuduh sebagai Pegawai Penyiasat didakwa merogol remaja berusia 16 tahun itu dengan kerelaan mangsa dan kerelaan itu diperoleh menggunakan kedudukan berkuasa tertuduh terhadap mangsa.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bilik Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan lebih kurang pukul 6.30 petang pada 28 Disember 2022.

Tuduhan dibawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berkaitan amang seksual terhadap remaja perempuan itu di tempat, masa dan tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan disebat dengan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi tertuduh namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM20,000 bagi tuduhan merogol dan RM20,000 bagi setiap kes amang seksual.

Mohd Maliki memohon jaminan rendah atas alasan dia tiada pendapatan berikutan akan digantung tugas selepas kes itu selain perlu menyara keluarganya dan menanggung beban hutang yang tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi tuduhan merogol dan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga kes amang seksual berserta syarat tambahan melarangnya mengganggu mangsa dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula untuk semua kes pada 6 Februari dan bagi lantikan peguam serta serahan dokumen. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button