Nasional

Tiada apa-apa yang tak kena dengan pengurusan dana Pakej Rangsangan Ekonomi

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, dana melibatkan beberapa Pakej Rangsangan Ekonomi sejak 2020 dilaksana secara telus.

Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan ketika kerajaan dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika dipanggil berhubung dakwaan penyelewengan dana tersebut.

“Tidak ada apa-apa yang tidak kena yang melibatkan pengurusan dana. Tetapi saya sedia untuk bekerjasama sekiranya dipanggil oleh agensi berkaitan. Kami sangat telus.

“Seperti saya katakan, kita ada laporan mingguan, Laporan Laksana. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Laporan itu diserahkan kepada media malah orang awam juga boleh mendapatkannya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama CNBC pada Khamis lalu.

Zafrul pada masa sama turut mengesahkan bahawa beliau belum dipanggil oleh mana-mana agensi termasuk SPRM berhubung siasatan dakwaan penyelewengan dana Pakej Rangsangan Ekonomi.

Bulan lepas, SPRM memaklumkan fokus siasatan pihaknya berhubung dakwaan salah guna dana oleh Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan untuk pengurusan Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Kementerian Kewangan telah mengakui beberapa pelanggaran serius prosedur yang melibatkan dana tersebut. – ASTRO AWANI – SM

 

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button