Nasional

PdPR: Cadang kerajaan beri kupon beli sendiri laptop

KETUA Penerangan UMNO Shahril Hamdan Sufian mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi kupon kepada pelajar untuk membeli sendiri komputer riba atau laptop bagi mengikuti pembelajaran dari rumah.

Katanya, Malaysia mempunyai hampir 4.8 juta pelajar sekolah rendah dan menengah.

Kerajaan boleh menyediakan kupon subsidi untuk pembelian laptop sebanyak RM1,000 untuk pelajar B40 dan RM500 untuk pelajar M40.

Dengan cara ini katanya, pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) tidak akan menjadi masalah.

“Jika ia digunakan secara total pun, jumlah belanja adalah RM3 bilion. Tak sampai satu peratus Belanjawan 2021. Baik kupon fizikal mahupun e-wallet, kedua-duanya boleh dipertimbang.

“Tak perlu spesifikasi ketat dan proses perolehan rumit. Biar pelajar/ibu bapa putuskan “device” apa mereka mahu beli – selagi ia memadai untuk PdPR.

“Tambahan lagi, kupon atau baucar untuk menambah kitaran belanja dalam ekonomi – insya Allah tidak ada masalah,” kata Shahril Hamdan

Justeru menurut beliau, kunci untuk menangani cabaran PdPR berada di pihak kerajaan.

Jelas Shahril Hamdan Mustahil badan bukan kerajaan, parti politik atau orang persendirian boleh menyediakan komputer riba untuk semua yang memerlukan.

“Sewaktu Belanjawan 2021 dibentang mungkin kerajaan mengharapkan sekolah dapat dibuka. Tetapi realiti sudah berubah. Kita sudah hampir masuk bulan Februari dan belum tentu bila sesi persekolahan dibuka semula dan belum tentu takwim sekolah 2021 tidak “diganggu” lagi kelak.

“Sekarang sudah jelas isu ini berpanjangan dan PdPR bukan lagi satu kemahuan tetapi sudah menjadi keperluan merentasi seluruh segmen.

“Jika ada idea atau kaedah lain, amat dialu-alukan. Tetapi yang penting, semua pelajar mesti ada kemampuan menjalani PdPR dan Kerajaan mesti mengutamakan kebajikan pelajar dan mengesyorkan mereka agar situasi hari ini tidak akan menghalang pelajar dari menerima pendidikan berkualiti,” kata Shahril.

Belanjawan 2021 menggariskan sebanyak 150,000 buah komputer riba akan diagihkan kepada pelajar kurang berkemampuan yang akan disumbangkan oleh syarikat-syarikan berkaitan kerajaan.

Jumlah tersebut menurut Shahril Hamdan sememangnya tidak mencukupi jika hendak diagihkan kepada semua pelajar B40.

“Kajian Kementerian Pendidikan sendiri tahun lepas membayangkan 37 peratus pelajar tidak ada sebarang peranti elektronik.

Di kalangan yang ada peranti, kebanyakannya adalah telefon pintar dan bukan laptop/tablet atau PC. Andaian saya – 150 ribu laptop tak cukup,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button