Nasional

PAU2020: Lengang di WTC, meriah di seluruh negara

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2020 yang sedang berlangsung bermula hari ini kelihatan lengang di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, penganjurannya pada kali ini sebaliknya meriah di seluruh negara apabila persidangan dan ucapan pimpinan UMNO disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform.

Malah, siaran langsung PAU2020 juga disiarkan di setiap pejabat bahagian dan cawangan UMNO seluruh negara yang dihadiri oleh setiap perwakilan.

Dalam tinjauan Suara Merdeka di sekitar WTC dan Dewan Merdeka mendapati kehadiran perwakilan dan tetamu juga tidak meriah seperti dahulu.

Tiada aktiviti jualan dan pameran serta foodtruck  dibenarkan seperti dahulu yang menjadi salah satu faktor kepada kehadiran orang awam dan ahli UMNO.

Ini kerana penganjurannya yang ditangguhkan sejak tahun lalu berlangsung dalam suasana norma baharu dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Malah, kebenaran penganjuran PAU 2020 ini juga adalah selepas mendapat kebenaran dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian persidangan sayap-sayap UMNO di Dewan Merdeka.

Di dalam Dewan Merdeka, para perwakilan dan tetamu kehormat ditempatkan di tempat duduk yang ditetapkan dengan mengambil kira penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Malah, tidak semua perwakilan dan tetamu dibenarkan masuk untuk mengelakkan kesesakan dalam dewan berkenaan walaupun boleh memuatkan kira-kira 3,000 orang.

Perwakilan juga diarahkan membuat imbasan MySejahtera di pintu masuk WTC dan setiap dewan persidangan sebelum dibenarkan masuk.

Laluan juga turut diaturkan bagi tujuan keluar dan masuk, justeru petugas media, perwakilan dan tetamu akan dibantu oleh Skuad Sabil yang bertugas.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan PAU2020 dianjurkan selama dua hari bermula hari ini dan esok (28 Mac) di WTC.

Sementara perasmian dan upacara menaikkan bendera oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berlangsung pada hari Ahad bermula pukul 7.30 pagi. – SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button