Pasukan Russia muncul Juara RFC Grand Final 2023
RAINFOREST Challenge (RFC) Grand Final 2023 telah melabuhkan tirainya dengan menobatkan Konev Sergey dan Blinov Dmitrii dari Russia sebagai Juara Keseluruhan pada majlis penutup yang berlangsung di Hotel Casuarina, Ipoh malam semalam.
Majlis penutup ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot. Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kawasan Tronoh, YB Tuan Steven Tiw.
Team 150 turut memenangi Kategori Jentera Prototaip dan Hadiah Kapasiti Enjin Petrol 3050cc Ke Atas. Selain itu, Kategori Pengeluaran Diubahsuai telah dimenangi Aleksei Filiar dan Denis Kupriianov dari Russia, manakala Mohd Rezuan Kihi dan Mohd Ismail Alias dari Malaysia telah muncul Juara Kategori Pengeluaran Standard.
Pada tahun ini, penganjur turut memperkenalkan Kategori Campuran Wanita dan Lelaki yag dimenangi oleh Sakuna Boonphueak dan Mongkon Piendee dari Thailand
Sejak 2 Disember, para peserta RFC Grand Final 2023 telah mengharungi laluan-laluan berhalangan yang mencabar skil pemanduan dan kemampuan jentera 4×4 mereka di 40 Special Stages (SS) pada fasa Prologue, Terminator, Predator, Twilight Zone dan SS Finale yang berlangsung di sekitar kawasan sekitar Bulatan Sultan Azlan Shah, Ulu Kuang, Sungai Durian, Bekut,Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong.
Selain mempertandingkan 25 jentera 4×4, RFC Grand Final ke-26 ini turut disertai kira-kira 300 pegawai dan kru sokongan serta wakil media dari Russia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Italy, Filipina, Indonesia, France, Slovenia, Laos dan Wales.
RFC Grand Final 2023 merupakan pertandingan pacuan empat roda yang berjaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia sehingga dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.
Penganjuran RFC Grand Final di Perak ini merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama pada 2004. Setiap tahun, RFC Grand Final dianjurkan di negeri- negeri terpilih semasa musim hujan monsun di hujung tahun dan berjaya menarik pasukan, penggemar dan pengunjung dari Malaysia dan tidak kurang dari 25 negara asing.
Sepanjang 26 kali penganjurannya, acara tersebut telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara di mata dunia dan seterusnya mencapai objektif mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan terutamanya sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa. – SM
Artikel berkaitan > Acara RFC cabar kemahiran pemanduan dan ketahanan jentera pancuan empat roda