Bola SepakSukan

Pasukan Liga Malaysia lega diberi kebenaran berlatih

KEBENARAN untuk berlatih seperti yang diumumkan kerajaan semalam memberi kelegaan kepada jurulatih bagi mempersiapkan pasukan menghadapi baki saingan Liga Malaysia pada September depan.

Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata beliau menyambut baik keputusan berkenaan sambil memaklumkan skuad Hang Tuah bersedia mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Sememangnya situasi ini di luar jangka kerana pemain seolah-olah menghadapi persiapan pra musim sebanyak dua kali dalam tempoh satu musim.

“Mungkin suasana dalam latihan nanti akan sedikit berbeza kerana ada banyak SOP perlu dipatuhi, tetapi kita akan cuba atasi rasa kekok itu bagi memastikan latihan dapat dijalankan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Turut menyuarakan rasa sama ialah ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang gembira dengan keputusan tersebut.

“Selepas liga dihentikan selama hampir tiga bulan ekoran pandemik COVID-19, saya rasa ini adalah masa terbaik untuk membina semula kecergasan dalam kalangan pemain.

“Bagaimanapun, saya berharap pemain saya dan  kakitangan jurulatih dapat mematuhi SOP ketat yang ditetapkan oleh pihak berwajib kerana kami ingin selamat daripada jangkitan COVID-19,” tambah jurulatih kelahiran Australia itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang media khas di Putrajaya semalam memaklumkan skuad kebangsaan, pasukan negeri atau kelab di bawah MFL, serta akademi bola sepak yang berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan badan mengikut SOP yang ditetapkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button