Nasional

Pas sanjung titah Raja-Raja Melayu, selaras usaha kerajaan

PAS menyanjung tinggi titah Raja-Raja Melayu berkaitan pandangan agar kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen, mempercepatkan pemberian vaksin serta pentingnya mempunyai kerajaan yang stabil dan kukuh dalam menangani jangkitan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, titah Raja-Raja Melayu berkaitan pembukaan Parlimen adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini.

“PAS juga meyakini bahawa titah pandangan Baginda Tuanku berkenaan sidang Parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen sebagaimana juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

“Keprihatinan baginda tuanku dan seluruh duli-duli raja-raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak COVID-19,” kata Tuan Ibrahim.

Berkaitan dengan pemberian vaksin, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, PAS yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang kini telah berjaya memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari.

“Ia sebagai kayu ukur dalam mencapai target 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini.

“Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, PAS melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menegaskan tindakan Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan 18 pemimpin parti politik dan mendengar taklimat dari agensi-agensi Kerajaan menunjukkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Malah Perbincangan Khas yang diadakan di Istana Negara menunjukkan Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik.

“PAS menyanjung tinggi titah pandangan Baginda Tuanku yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak ini dan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan daripada wabak ini,” kata Tuan Ibrahim.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button