Ekonomi

Azizan Osman kini salah seorang pemegang saham utama MPay

Mentor Usahawan dan Pakar Pemasaran No. 1 Asia, Datuk Wira Dr. Azizan Osman kini antara pemegang saham utama bagi ManagePay Systems Berhad (MPay) selepas memperolehi 5.762 peratus kepentingan.

Mengikut pengumuman dikeluarkan Bursa Malaysia sebentar tadi, Azizan Osman kini mempunyai pegangan langsung berjumlah 44 juta unit saham dalam syarikat itu.

Malah Mpay turut memaklumkan bahawa Macquarie Bank dari Australia telah menghantar Notis Langganan dan Jumlah Pembayaran bagi 10 juta unit saham pada harga RM0.214 sen seunit semalam.

Mpay telah memperuntukan dan mengeluarkan penempatan saham bagi Macquarie Bank hari ini dan dijangka akan disenarai pada 22 Jun ini.

Azizan Osman merupakan seorang mentor usahawan yang mana hasil bimbingan dan latihan dijalankan bersama sekitar 700 usahawan pelbagai industri pada tahun lalu berjaya mencatatkan peningkatan jualan luar biasa kepada RM2.2 bilion berbanding sekitar RM900 juta pada 2019.


Dalam pada itu, Mpay merupakan penyedia solusi bagi pembayaran elektronik ‘end-to-end’ (e-pembayaran) bagi bank-bank dan institusi kewangan, peruncit dan pemegang kad yang beroperasi di negara ini.

Syarikat ini telah berada dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran melebihi RM120 juta.

Pada Julai tahun lalu, MPay dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memberitahu bahawa anak syarikatnya, ManagePay Services Sdn Bhd telah mengadakan usaha sama dengan syarikat khusus untuk menubuhkan sebuah syarikat yang akan menjadi bank digital dengan kelulusan dari Bank Negara.

MPay bekerjasama dengan Passion Venture Capital Pte Ltd (PVC) yang berpangkalan di Singapura untuk memohon lesen dan mengendalikan perbankan digital di Malaysia.

Di bawah syarikat usaha sama itu, MPay akan memiliki 51% kepentingan sementara 49% selebihnya akan dipegang oleh PVC. – SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button