Pas jadi lembu kenyang – Khalid
Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh mengharap kepada Pas kerana para pemimpin parti itu ibarat ‘lembu kenyang’ hanya mendiamkan diri.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, para pemimpin Pas telah dapat apa yang mereka mahu, justeru Muhyiddin mudah menguruskan Pas, tetapi sukar bila berdepan dengan UMNO.
Katanya, bagaimanapun Muhyiddin akan hilang kawalan sebagai perdana menteri jika tunduk kepada tuntutan UMNO yang mahukan jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam Kabinet.
Khalid berkata, tuntutan UMNO itu merupakan langkah pertama parti itu ke arah menuntut jawatan perdana menteri.
“Kalau Muhyiddin mengalah dengan tuntutan UMNO, ini adalah permulaan kepada kejatuhan beliau. Bulan ini mungkin UMNO minta ini (jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kanan), bulan lain dia akan minta yang lain pula.
“Muhyiddin akan kekal sebagai perdana menteri namun hilang kawalan dalam kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Amanah Perak di sini hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam berkata, UMNO mahukan jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam kabinet.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, UMNO sebagai penyumbang kerusi yang banyak dalam Perikatan Nasional (PN) wajar mendapat portfolio yang baik.
Tuntutan itu ekoran krisis dalam PN yang bermula apabila UMNO menyatakan hasratnya untuk mempertimbangkan semula sokongan parti itu kepada kerajaan PN.
Menurut Khalid, kemelut politik dalam PN terjadi disebabkan tindakan khianat Muhyiddin dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sekarang Muhyiddin terpaksa berpaut pada UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri. Pas pula seperti ‘lembu kenyang’, diam sahaja kerana sudah dapat apa yang mereka mahukan,” katanya.
Khalid berkata, pergolakan politik sekarang membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi perdana menteri termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, para pemimpin parti seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah masing-masing membuka langkah untuk menjadi perdana menteri.
“Dalam keadaan politik yang tidak menentu, apa kemungkinan boleh berlaku, mungkin Anwar boleh menang, mungkin Ku Li, mungkin Zahid, mungkin juga Najib boleh kembali.
“Muhyiddin dan UMNO sedang berunding sekarang dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku, semuanya boleh berubah.
“Seperti UMNO, satu ketika dahulu macam sudah nak mati namun dihidupkan kembali oleh Muhyiddin dan Azmin atas sebab pengkhianatan dan pentingkan kedudukan serta jawatan mereka,” katanya.