Nasional

Parti tidak boleh disalahkan jika pemimpin terlibat rasuah – Ismail Sabri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti UMNO tidak boleh dipersalahkan apabila beberapa individu termasuk melibatkan pemimpin terbabit dalam skandal rasuah.

Sebaliknya kata Naib Presiden UMNO, yang wajar dipersalahkan adalah pelakunya dan bukannya UMNO yang diheret dalam isu tersebut.

Tegasnya, adalah tidak adil rakyat melabel UMNO sebagai parti rasuah ekoran penglibatan beberapa pemimpin dan ahli parti dalam skandal rasuah.

“Daripada segi calon, saya sudah terangkan. Daripada segi pemimpin yang rasuah dan sebagainya, ia tidak melibatkan parti. Ia melibatkan individu.

“Individu yang ada kes diambil tindakan dan tindakan itu pun dikenakan terhadap individu tersebut. Ianya tidak mengatakan parti UMNO itu rasuah,” ujarnya ketika diwawancara dalam Program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri:Kestabilan & Kemakmuran yang disiarkan di TV3 malam tadi.

Related Articles

Beliau ditanya mengenai keresahan rakyat mengenai skandal rasuah yang semakin berleluasa dalam kalangan pemimpin UMNO.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, dahulu ada pemimpin parti itu ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan komunis.

Katanya, parti UMNO tidak pernah menjadi komunis walaupun ketika itu ada tiga pemimpin ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Jadi, walaupun ada yang didapati bersalah, perjalanan kes adalah seperti biasa, kalau mereka bersalah mereka dihukum dan saya sendiri berkali-kali menegaskan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan mahkamah, tidak campur tangan dalam urusan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya,” ujarnya.

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas menyiasat sesiapa sahaja dan tidak ada campur tangan daripada kerajaan apabila pesalah dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, mereka yang terlibat perlu menghadapi perbicaraan secara bersendirian dan tidak boleh ‘drag’ (heret) parti bersama dalam isu berkaitan dengan mereka.

“Mungkinlah pembangkang akan menjadikan ini sebagai isu, tetapi kita ada tiga juta ahli. Kalau dua atau tiga orang yang terlibat sahaja, tidak bolehlah tiga juta ahli ini dikatakan rasuah juga.

“Jadi disebabkan itu, saya rasa yang terlibat itu kalau ada, mereka terpaksa melalui proses perundangan secara bersendirian tanpa melibatkan parti,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button