Alam SekitarNasionalNegeri

Paras air Sg Muda turun mendadak jejas bekalan air P.Pinang

PARAS air Sungai Muda turun secara mendadak dan sekaligus menjejaskan bekalan air di negeri itu. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menyimpan air selepas paras air Sungai Muda di Kedah yang membekalkan air kepada 80% Pulau Pinang “turun mendadak”.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, paras air direkodkan di bawah paras 1 meter pada pukul 5 pagi tadi di muka sauk Lahar Tiang.

PBAPP tidak mengetahui apakah punca sebenar yang mengakibatkan paras air turun mendadak .

GAMBAR HIASAN SUNGAI

“Untuk mengatasi keadaan ini, PBAPP akan menyalurkan air dari Empangan Mengkuang untuk digunakan di Loji Rawatan Air Sungai Dua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PBAPP berkata, mereka kini sedang berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan isu itu.

Sementara itu, menurut Berita Harian, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam kenyataan berasingan mengarahkan PBAPP menyusun semula pelan tindakan bagi memastikan rizab Empangan Air Itam yang semakin berkurangan dapat bertahan 120 hari sehingga musim hujan dijangkakan pada September ini.

Chow berkata, beliau percaya PBAPP mampu melaksanakannya berikutan pencapaian amat baik ditunjukkan agensi pengurusan air negeri itu.

Menurut beliau, kapasiti Empangan Air Itam menurun 41.4% dalam tempoh 129 hari daripada 1 Januari hingga 9 Mei lalu.

“Mengikut kapasiti ini, bekalan air berpotensi bertahan selama 120 hari lagi sehingga musim hujan yang dijangkakan pada September ini.

“Selasa lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menyiarkan kenyataan mengumumkan bahawa musim monsun barat daya yang lebih kering akan bermula pertengahan bulan ini.

“Bagaimanapun, pada 5 Mei lalu, METMalaysia juga telah menyiarkan kenyataan di laman sosial Facebook (FB) agensi itu yang menyatakan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara mungkin menerima antara 50 milimeter (mm) dan 300mm hujan pada Jun ini yang diharapkan ia turun di kawasan tadahan Air Itam,” katanya.

Beliau berkata, PBAPP sudah melakukan tugas yang baik dalam mengurangkan kawasan liputan bekalan Empangan Air Itam merangkumi 6,000 pengguna air.

Semalam, Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri turut dalam proses memohon supaya pembenihan awan gelombang kedua dapat dilakukan sehingga dua empangan berkenaan mencapai kadar air sebanyak 50 peratus.

Katanya lagi, Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri akan membuat permohonan sekali lagi untuk mendapat bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma ) dan tentera udara untuk tujuan berkenaan. – SM

BACA 12 sungai 5 negeri lepasi paras air bahaya

BACA Kerja penambahbaikan, penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 siap

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button