EMPANGAN Timah Tasoh akan terus membekalkan air untuk kegunaan penduduk di negeri ini kerana masih berada di bawah paras kritikal.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir Mahidi Mahmood berkata, malah Empangan Timah Tasoh juga akan membekalkan air seperti biasa dalam tempoh dua bulan lagi sekalipun tidak berlaku hujan.
Beliau berkata, sehingga kini paras air di empangan ini masih terkawal dan tidak membimbangkan.
“Paras air di empangan hari ini (6 Mei) pada 27.35 meter berbanding semalam (5 Mei) pada paras 27.77 meter,” katanya pada media selepas melakukan tinjauan di empangan berkenaan hari ini.
Hadir sama Exco Kerajaan Negeri, Izizam Ibrahim dan Timbalan Pengarah JPS, Muhamad Hafiz Harun.
Bagaimanapun kata Mahidi pihaknya akan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana jika paras air di peringkat kritikal iaitu paras 27.1 meter untuk melakukan sesuatu termasuk pembenihan awan.
Katanya, selepas melalui cuaca panas dari Januari hingga April, biasanya cuaca di Perlis akan mulai hujan pada Mei dan ia telah berlaku beberapa hari lalu.
“Kita harap bila berlaku hujan lebat yang sebaiknya di kawasan empangan dalam seharian akan membolehkan paras air kembali normal,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2 Mei lalu air empangan juga dilepaskan untuk pengairan tanaman padi.
Katanya, sebanyak 1 juta meter padu dibekalkan bagi setiap kali musim padi.
Sementara itu, Izizam berharap rakyat jangan risau kerana air di Empangan Timah Tasoh di bawah paras kritikal.
Sehubungan itu, katanya,
tidak timbul isu catuan air di Perlis setakat ini.
Bagaimanapun katanya, langkah berjimat air perlu dimulakan mulai sekarang.
Izizam berkata, ia sebagai persediaan tetapi kerajaan akan cuba mencari jalan terbaik supaya tidak membebankan rakyat. – SM