Pantas berjangkit, Kluster Sivagangga mungkin ‘super-spreader’
JANGKITAN Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga di Kedah mungkin berasal dari kluster “super-spreader”.
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan tersebut selepas meneliti bagaimana kluster berkenaan merebak dengan begitu cepat di Kedah.
Keadaan tersebut memaksa beberapa buah mukim di negeri itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat dan beberapa sekolah terpaksa ditutup.
Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster “super-spreader” berasal dari Mesir dan Pakistan.
“Apa yang kita lihat kluster PUI Sivagangga merebak dengan cepat sekali jika nak dibandingkan dengan 9 kluster lain yang ada di Sarawak dan sebagainya.
“Kajian sedang dijalankan sama ada kita sedang menghadapi kluster ‘super spreader’. Dimaklumkan kepada kementerian ia datang dari Mesir dan Pakistan. Besar kemungkinan ini mungkin kluster ‘super-spreader’.
“Kita kena laksana ujian dengan teliti di makmal untuk melihat virus tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.-SM