Nasionalpilihan

Pantai Siring pot buaya tembaga cari makan

Buaya tembaga yang ditangkap oleh nelayan di Pantai Siring, Kampung Pulai, Jasin hari ini dipercayai datang dari Muar dan mencari makan di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, Pantai Siring dipercayai merupakan kawasan rayau bagi spesies buaya tembaga tersebut.

Menurutnya, pihak Perhilitan sering mendapat aduan berkenaan kehadiran spesies itu terutama di kawasan perairan Melaka.

Katanya, buaya tembaga yang ditangkap nelayan adalah sepanjang 15 kaki dengan berat lebih kurang 1 tan.

“Ini adalah tangkapan pertama tahun ini dan sebelum kita telah berjaya menangkap spesies yang sama di kawasan perairan Pantai Siring pada 2019 dan 2021,” ujarnya hari ini.

Petra berkata, buaya jantan itu telah dihantar ke kawasan konservasi reptilia itu yang diuruskan Perhilitan di Paya Indah Wetland, Selangor.

Menurutnya, jika sekiranya spesies berkenaan didapati membawa ancaman serta gangguan, orang awam diminta agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terus menghubungi Jabatan Perhilitan Melaka di talian 06-2345610 atau 011-62721059 (Melaka Tengah), 013-4122589 (Jasin) dan 018-3502835 (Alor gajah). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button