Nasional

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat: Pengusaha kantin lega

PERSATUAN Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menyifatkan bantuan kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) akan mengurangkan kesan yang dihadapi pengusaha kantin berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha PPKSM Siti Normah Md Desa berkata rata-rata pengusaha kantin terjejas dan seperti hilang punca pendapatan apabila mereka terpaksa menghentikan operasi selaras dengan arahan PKP.

“Semua pengusaha kantin adalah dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana yang sangat terkesan dengan PKP.

“Bantuan ini diumum pada masa yang tepat dan kami pengusaha kantin sekolah sangat berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pengecualian bayaran sewa enam bulan, seperti yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan PRIHATIN pada Jumaat lalu, sedikit sebanyak mengurangkan beban harian pengusaha kantin.

BACA:

Selain menikmati pengecualian bayaran sewa kantin sekolah, Siti Normah berkata, pengusaha kantin juga akan mendapat penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April.

Kebanyakan pengusaha kantin sekarang yang telah diminta oleh pihak sekolah untuk membayar bil elektrik turut menikmati diskaun berperingkat antara 15 hingga 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik, katanya.- sumber berita.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat telah mengumum Pakej Prihatin dengan memperuntukan RM250 bilion bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN untuk merangsang ekonomi dan membantu rakyat dalam menghadapi cabaran yang dicetuskan oleh wabak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, daripada jumlah tersebut hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.

RM100 bilion diperuntukkan untuk menyokong  perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

“Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.

“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind. Keutamaan kerajaan pada waktu ini ialah untuk membendung penularan wabak COVID-19,” kata Muhyiddin – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button