Rencah Hidup

“Pakcik Janggut” dakwa difitnah tunjuk isyarat lucah

TULAR rakaman video baru-baru ini yang memaparkan seorang lelaki warga emas dipukul, ditumbuk, disepak dan diterajang oleh seorang pemuda yang menaiki motosikal.

Kejadian berlaku di Padang Jawa, Klang, Selangor yang mana, menurut pelaku (pemuda berkenaan), dia bertindak (menggunakan kekerasan) kerana tidak puas hati, “Pakcik Janggut” yang memandu kereta, menunjukkan isyarat lucah jari tengah kepadanya.

Difahamkan, “Pakcik Janggut” memandu kereta yang dinaiki isteri dan cucunya.

SIDANG media “Pakcik Janggut” turut dihadiri isterinya.

Hari ini, “Pakcik Janggut” mengadakan sidang media yang turut disiarkan secara langsung di media sosial, Instagram.

Insiden yang berlaku itu menarik perhatian netizen dengan pelbagai komen dilontarkan.

Pada sidang media tersebut, “Pakcik Janggut” yang merupakan pesara, mendakwa, pemuda tersebut memfitnahnya dengan mengatakan, beliau menunjukkan isyarat lucah jari tengah.

Pada sidang media yang sama, isteri “Pakcik Janggut” berkata, pemuda itu datang ke arah kereta mereka dalam keadaan marah.

Suaminya yang terkejut melihat pemuda berkenaan, secara spontan keluar dari kereta dan tidak sempat untuk membuat apa jua isyarat.

“Dia (suami) keluar dari kereta tanpa mengetahui apa-apa, tidak tahu menahu apa yang berlaku. Kenapa diserang? Salah bagi signal ke atau tergesel motosikal ke.

“Jadi, memang tidak sempat nak menunjukkan jari lucah atau apapun,” kata isteri “Pakcik Janggut”.

Menurut “Pakcik Janggut”, beliau cuba untuk mendengar perbualan pemuda itu dengan individu lain yang berada di tempat kejadian, apakah punca yang menyebabkan beliau diserang oleh pemuda berkenaan.

Terdahulu, pemuda berkenaan telah diserang oleh sekumpulan lelaki yang tidak puas hati dengan tindakan ganas oleh pelaku itu terhadap warga emas.

Rakaman pemuda tersebut dihentak oleh sekumpulan lelaki pada Ahad lalu, ditularkan di Facebook.

Setakat ini, belum ada apa-apa kenyataan dari pihak polis berhubung kejadian.

Bagaimanapun, pihak polis telah menerima aduan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pemuda (pelaku) telah ditahan untuk siasatan lanjut. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button