Travel

Pakaian sari dan corak batik bersatu dalam fesyen

SEBAGAI usaha untuk memartabatkan warisan tekstil negara, Bkay Nair sekali lagi muncul dengan inovasi menarik dalam pakaian tradisional masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam pertunjukan fesyen Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2024) yang dijadualkan berlangsung bulan depan, Bkay memperkenalkan sari, pakaian tradisional kaum India, yang dihasilkan daripada tekstil batik.

Bkay menunjukkan cara memakai sari dengan kain bercorak batik

“Kami ingin memberikan kelainan tahun ini pada acara yang dijadualkan pada 23 November depan. Fokus utama adalah ‘6 Yards of Beauty’, di mana sari ini menjadi simbol warisan dan identiti negara kita,” ujarnya pada sesi sidang media di Bungalow 37.

Beliau menambah, pemilihan batik dalam pertunjukan anjuran Bkay Nair Resources dengan sokongan Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PPPFM) menampilkan batik sebagai tekstil yang mampu menghasilkan pelbagai jenis rekaan dan potongan fesyen mengikut kreativiti pereka.

Lebih menarik, Bkay menjelaskan bahawa hasil tangan batik akan dihasilkan oleh banduan di penjara negara ini, sebagai bentuk sokongan dan daya tarikan. “Batik yang dihasilkan mereka mempunyai nilai seni yang sangat tinggi,” katanya.

Selain itu, Bkay, yang pernah membintangi filem “Ratu The Movie”, percaya bahawa memperkenalkan batik ke pentas fesyen yang lebih komersial dapat menjana pendapatan bagi mereka yang terlibat dalam industri ini.

MHS2024 juga akan mengiktiraf pereka dengan Anugerah Pereka Terbaik yang diperkenalkan sejak tahun lalu, sebagai penghargaan kepada usaha pereka dalam mengangkat warisan tekstil tempatan.

“Kami mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk penganjuran kali ini yang melibatkan penyertaan pereka tempatan. Selain sari, pereka juga akan menampilkan pelbagai rekaan menggunakan tekstil batik seperti baju dan gaun yang sesuai untuk majlis khas atau tujuan komersial, merayakan tradisi tempatan,” katanya.

Sementara itu, Bkay yang juga merupakan presiden PPPFM, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana sebuah persatuan untuk peniaga fesyen di negara ini telah berjaya ditubuhkan. “Saya menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan industri fesyen di negara ini terus berkembang,” tambahnya.

“Pelbagai agenda telah dirancang, termasuk bengkel dan sesi perbincangan bagi mengeratkan hubungan antara pemain industri serta mencari peluang kerjasama,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button