Nasional

Padah sorok 223,000 topeng muka

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendedahkan peniaga yang bertindak menyorok 223,000 unit topeng muka dan menjual lebih daripada harga maksimum.

Dalam situasi tekanan keperluan topeng muka kini, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Awas peniaga online, jangan buat transaksi jual beli yang menipu pengguna,” kata KPDNHEP di dalam twitter.

Dianggarkan bernilai RM446,000 yang disorok dan dijual melebihi harga maksimum dalam serbuan di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini, semalam.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata topeng muka jenis tiga lapis itu dijual secara tersembunyi kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2 seunit.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan penjualan topeng muka yang melebihi harga maksimum kawalan di Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklan topeng muka dengan kaedah penjualan  melalui pesanan menerusi aplikasi WhatsApp dan barang dihantar melalui pos atau Cash On Delivery (COD) di kawasan Kota Damansara.

Menurutnya sekiranya suspek disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 (AKHAP 2011), boleh didenda tidak melebihi RM500,000 manakala bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

Orang bukan pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pengguna disaran menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan kepada KPDNHEP menerusi hotline 1-800-886-800 atau talian 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau e-mel ke http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button