Padah ceroboh landasan komuter, tiga warga Bangladesh maut
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki rakyat Bangladesh yang dipercayai menceroboh masuk ke kawasan landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) maut di dilanggar komuter.
Dalam kejadian di Taman Puncak Utama, Jade Hills, Kajang, malam tadi, ketiga-tiga mangsa merupakan warga Bangladesh berusia antara 30-an dan 40-an.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mereka menerima panggilan pada pukul 10.53 malam berkaitan kejadian itu.
Katanya, seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah komuter melanggar tiga lelaki Bangladesh berusia antara 30-an hingga 40-an.
“Mereka didapati menceroboh melalui landasan kereta api dan kesemua mangsa dipercayai tercampak di tepi landasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di lokasi kejadian.
“Operasi selesai pada 12.05 tengah malam dan ketiga-tiga mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. –SM