NasionalNegeri

Orang Perlis jangan panik beli gula sebab harga kekal

PERCAYA konon gula akan naik RM4.60 mulai 1 Jun, pengguna di Perlis terus panik sehingga mula membeli gula dengan lebih banyak daripada biasa.

Tidak cukup dengan itu, apabila gagal mendapatkan gula, panik ini dipanjangkan pula sehingga ke media sosial.

Masing-masing melahirkan tidak puas hati apabila terpaksa mencari bekalan gula di serata kedai runcit tetapi masih gagal atau dihadkan pembelian.

Tinjauan Suara Merdeka juga mendapati rak di bahagian gula di kedai-kedai runcit telah mulai kosong.

Jika ada pun bekalan gula, peniaga terpaksa menghadkan pembelian supaya tiada pelanggannya yang pulang dengan tangan kosong.

“Jangan panik, harga gula buat masa ini bukan sahaja kekal iaitu RM2.85 sekilogram bagi gula pasir dan RM2.95 bagi gula halus seperti jaminan Menteri Datuk Seri Salahuddin Ayub malah bekalan gula cukup untuk menampung keperluan pengguna di Perlis,” katanya pada sidang media berhubung barang kawalan gula pasir di Pemborong NFS AMG Arau, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Norazah Jaapar berkata, harga gula putih bertapis ini tidak akan dinaikkan kerana ia merupakan barangan kawalan berjadual seperti mana yang telah diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Beliau berkata, setakat ini ada empat pemborong gula di Perlis iaitu Chop Tai Sin Sdn Bhd, Pangco Jaya Sdn Bhd,
NFS AMG Trading dan Ishah Bintong Enterprise.

“Pemborong di negeri ini menerima bekalan gula daripada dua buah syarikat pengeluar gula utama negara iaitu MSM Malaysia Holding Bhd. (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR),” katanya.

Norazah berkata, bagi bekalan gula putih bertapis sepanjang bulan Mei ini, sehingga kelmarin (20 Mei 2023) pemborong di negeri ini telah menerima bekalan dari MSM sebanyak 280,000 kilogram (kg); manakala bekalan gula yang diterima oleh pemborong dari CSR adalah berjumlah 103,680 kg.

“Ini menjadikan jumlah gula putih bertapis yang diterima oleh negeri ini setakat 20 Mei 2023 adalah sebanyak 383,680 kg,” katanya.

Norazah berkata, sekalipun permintaan gula lebih tinggi pada bulan ini berbanding bulan sebelumnya disebabkan musim perayaan dan pengguna dari negeri lain yang panik, bekalan gula masih lagi mencukupi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button