OPS HRAA: JPJ Perlis keluarkan 40 saman
SEMPENA menjelangnya Hari Raya Aidiladha, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) “turun padang” sebagai memberi peringatan kepada pengguna jalan raya di Perlis supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Jika engkar, JPJ tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan saman dengan serta-merta.
Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, berikutan itu sebanyak 40 saman telah dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya hari ini.
Beliau berkata, empat kes berkaitan Pelesenan Pemandu, dua kes (Pelesenan Kenderaan), satu berkaitan teknikal dan 28 kes lagi pelbagai kesalahan.
Fatimah berkata, saman ini dikeluarkan sempena Operasi Bersepadu Bersempena Hari Raya Aidiladha (OPS HRAA).
Katanya, operasi HRAA dari pukul 8 pagi hingga 1 petang ini telah diadakan di Kilometer 5.6 Jalan Kangar – Kodiang.
Katanya, operasi berkenaan melibatkan 26 anggota JPJ selain enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), lapan dari Agensi AntiDadah Kebangsaan (ADK) dan tiga dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Fatimah berkata, selain itu pada operasi ini juga pihaknya
mendapati hanya 16 peratus ibu bapa yang menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak ataupun Child Restraint System (CRS).
“Ini dapat dilihat dari hasil pemeriksaan ke atas 33 kenderaan yang membawa kanak-kanak oleh Unit Keselamatan Jalan Raya & Korporat (UKJRK) JPJ Perlis,” tambahnya.
Katanya, kerusi keselamatan kanak-kanak penting sebagai usaha mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan.
Katanya, adalah sangat membimbangkan dari kenyataan PDRM apabila 1,252 kes kematian yang melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah dari tahun 2012 sehingga 2021. – SM