NasionalPendidikan

Operasi sekolah negeri- negeri ikut ketetapan Fasa 3 PPN

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin hari ini telah mengadakan tinjauan di 10 sekolah di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu bagi melhat persiapan akhir sekolah-sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai esok, 3 Oktober 2021.

Pengoperasian sekolah di negeri ini adalah mengikut ketetapan Fasa 3 PPN.

Sekolah yang dilawati adalah SMK Kuala Telemong, SMS Hulu Terengganu, Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu, SMK Seri Berang, SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Tun Indera dan SMK Ajil.

Turut dikunjungi ialah sekolah SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, SM Sains Kuala Terengganu dan SMK Padang Midin Kuala Terengganu.

Beliau berkata, ibu bapa perlu peka dengan negeri dan fasa mana sekolah anak-anak mereka berada.

“Ini bagi mengelakkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah esok,” katanya

Sementara itu, pembukaan sekolah di Terengganu dan Kelantan yang bermula esok adalah secara berperingkat.

Ini kerana tidak semua murid terus atau perlu hadir ke sekolah esok.

“Ikutilah ketetapan sebagaimana yang diumumkan dalam pelan komprehensif pengoperasian sekolah oleh KPM sebelum ini,” ujarnya.

Katanya lagi, masih ada sekolah tidak cakna dengan keperluan memastikan aspek pengudaraan berada ditahap optimum.

Ini antara aspek utama yang boleh dan perlu ditambahbaik segera, katanya.

“Secara umumnya kelas-kelas telah berada ditahap yang baik namun masih ada sekolah-sekolah yang perlu membuat sedikit penambahbaikan bagi memastikan pengudaraan yang merupakan satu komponen penting dalam kita menghadapi pandemik Covid-19 berada di tahap optimum sebelum anak-anak kembali ke sekolah,” jelas beliau.

Dalam rakaman video, Dr. Radzi berkata:

Hari ini saya berada di Terengganu bagi meninjau persiapan bagi pembukaan sekolah di negeri ini esok.

Kita lihat secara umumnya persediaan yang dibuat adalah baik namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus terutamanya dalam konteks pengudaraan.

Insya-Allah apabila sekolah dibuka semula esok di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah serta lusa bagi negeri-negeri dalam kumpulan B mula memasuki sekolah maka kita harapkan ia berjalan dengan teratur, tersusun dan lancar.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan ibu bapa bahawa pembukaan sekolah bermula esok ini adalah secara berperingkat, tidak semua murid terus atau perlu hadir ke sekolah esok.

Sepertimana kita tahu di negeri-negeri Fasa 3 PPN, sebagai contoh di Terengganu ini, murid sekolah menengah yang akan hadir ke sekolah adalah murid kelas peperiksaan iaitu murid tingkatan 5 dan 6 yang hadir secara bergilir kecuali murid bagi sekolah berasrama yang tinggal di asrama sepenuhnya dan juga murid tingkatan 6 semester 2.

Selain itu, murid berkeperluan khas juga akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

Bagi murid sekolah rendah, bermula esok untuk negeri Fasa 3, murid yang hadir adalah murid prasekolah dan murid berkeperluan khas PPKI.

Jadi, bagi ibu bapa, kami memohon supaya meneliti dan melihat negeri dan fasa manakah sekolah anak-anak kita berada dan ikutilah ketetapan sebagaimana yang diumumkan KPM sebelum ini.

Masih ada lagi sekolah yang tak cakna dengan aspek pengudaraan yang baik, walau dah berulang kali YB/KPM ingatkan, seperti saya jelaskan tadi, antara aspek utama yang boleh ditambahbaik sedikit lagi adalah dalam konteks pengudaraan, di mana kita lihat masih ada ruang untuk kita pastikan pengudaraan di dalam bilik darjah dan bilik-bilik khas lain berada di tahap yang optimum.

Maknanya langsir-langsir atau poster-poster yang ada ditingkap yang menghalang pengudaraan seharusnya diketepikan atau disimpan terlebih dahulu bagi memastikan apabila anak-anak kita hadir ke sekolah esok, pengudaraan telah berada ditahap optimum dan berlaku dengan baik.

Secara umumnya kelas-kelas telah berada ditahap yang baik dan aspek pengudaraan berada pada tahap optimum, namun masih ada sekolah-sekolah yang mana perlu membuat sedikit penambahbaikan bagi memastikan supaya kita berada di sekolah dalam keadaan pengudaraan yang cukup baik yang mana ini merupakan satu komponen penting dalam kita menghadapi pandemik Covid-19.

INFO TAMBAHAN

TERENGGANU FASA 3 PPN

Sekolah rendah
-Murid prasekolah hadir tanpa penggiliran
-MBK di SKPK dan PPKI hadir tanpa penggiliran
-Murid lain PdPR

Sekolah Menengah
-Murid tingkatan 6 sem 2 hadir tanpa penggiliran
-MBK di SMKPK/SMPKV & PPKI hadir tanpa penggiliran
-Murid peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya hadir tanpa penggiliran
-Murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain hadir secara penggiliran
-Murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian/swasta hadir secara penggiliran
-Murid lain PdPR

KELANTAN FASA 2 PPN

Sekolah Rendah
-MBK di SKPK dan PPKI hadir tanpa penggiliran
-Murid lain PdPR

Sekolah Menengah
-Murid tingkatan 6 sem 2 hadir tanpa penggiliran
-MBK di SMKPK/SMPKV & PPKI hadir tanpa penggiliran
-Murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain hadir secara penggiliran
-Murid lain PdPR – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button