Politik

Oh! Dendam politik, ya? Cuba tanya Guan Eng

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta DAP bertanyakan Lim Guan Eng tentang dendam politik.

Menurut beliau, Guan Eng bermaharajalela ketika menjadi Menteri Kewangan apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

“DAP selar tindakan kerajaan PN membatalkan pinjaman RM2 bilion kepada kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membiayai sebahagian dari projek mega PTMP Pulau Pinang bernilai RM46 bilion kesayangan Guan Eng.

“Kelulusan untuk jaminan pinjaman RM2 bilion dari bank asing iaitu Bank Pembangunan Asia (ADB) telah diberi kerajaan PH dahulu secara senyap-senyap pada awal Januari 2019.

“Pinjaman RM2 bilion ini tidak pernah diumum kepada Rakyat Malaysia dan tak pernah dilapor oleh mana-mana media masa itu dan hanya diketahui secara umum minggu lepas selepas ianya didedahkan dalam Dewan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut Najib, DAP menyatakan pembatalan ini adalah satu dendam politik terhadap mereka sebab ianya adalah tindakan “paling sedikit” yang dapat dilakukan oleh kerajaan PN kepada Pulau Pinang.

“Oh! Dendam politik, ya?

“DAP dah lupa masa Menteri Kewayangan bermaharajalela di Putrajaya ke?” katanya.

Najib memberi contoh tindakan Guan Eng masa dia mengeluarkan kenyataan media dan membuat sidang media untuk kecam Kelantan sebagai kerajaan gagal apabila dia memberi pinjaman RM22.5 juta kepada negeri itu.

“Paling menyedihkan ialah dia kata Kelantan sebenarnya minta wang pendahuluan RM24.5 juta tapi Menteri Kewayangan cuma lulus RM22.5 juta untuk membayar gaji penjawat awam Kelantan.

“RM2 juta pun dia nak berkira dengan Kelantan. Siap ditulis dalam kenyataan dan disebut dalam sidang media.

“Tapi yang RM2 bilion kepada Pulau Pinang, dia membisu pula. Senyap-senyap buat kerja,” kata Najib.

Najib berkata, setiap kali Kelantan minta pertolongan kewangan kecemasan pada zaman BN jadi kerajaan semasa saya PM dan Menteri Kewangan akan beri.

“Kita tak keluarkan kenyataan media dan tak buat sidang media untuk menghina Kelantan atau PAS.

“DAP masih ingat juga tak masa kerajaan PH batalkan peruntukan RM1 bilion untuk membaiki sekolah-sekolah daif di Sarawak yang saya luluskan dalam Bajet 2018?

“Lepas itu, Menteri Kewayangan keluarkan statement kata jika Sarawak mahu duit tersebut, Sarawak perlu bayar balik hutang kepada kerajaan pusat yang belum pun sampai masa untuk dibayar pula.

“Sarawak bayar balik RM350 juta kepada kerajaan pusat, kerajaan pusat pula bayar RM350 juta Sarawak untuk baiki sekolah.

“Sarawak bayar balik RM1 bilion, kerajaan pusat pula bayar RM1 bilion kepada Sarawak.

“Padahal peruntukan itu sudahpun diluluskan secara umum dalam bajet 2018 masa BN.

“Bukan main sorok-sorok seperti RM2 bilion itu untuk projek Pulau Pinang.

“DAP dah lupa ke apa maksud sebenar dendam politik?

“Cuba tanya Guan Eng.”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button