Sukan

UniMAP, Jabatan Kesihatan berentap final Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra

Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra tahun ini bakal berakhir pada 12 Disember 2020 ini yang akan menyaksikan perlawanan berlangsung pada sebelah pagi di antara pasukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) beradu tenaga dengan pasukan juara bertahan iaitu Jabatan Kesihatan Negeri dalam pertandingan akhir di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP Pauh Putra.

Pada masa yang sama, pasukan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis akan berentap dengan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis bagi merebut Piala Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis di lokasi yang sama.

Seterusnya, bagi merebut tempat ketiga dan keempat Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra akan menyaksikan pasukan Hospital Tuanku Fauziah bakal melawan pasukan Kolej Matrikulasi Perlis.

Untuk kategori Piala Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis pula, pasukan Jabatan Pendidikan Negeri bakal bersaing dengan pasukan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri bagi merebut tempat ketiga dan keempat.

Kejohanan kali ini adalah siri yang ke-4 yang diadakan setiap tahun bermula pada tahun 2017 lalu dan merupakan ilham Tuanku Raja Muda sendiri yang telah memperkenalkan woodball ke negeri ini.

Untuk rekod, kejohanan woodball ini telah dijalankan sebanyak 4 pusingan secara berkumpulan sebelum memasuki pusingan kedua, yang telah bermula pada 12 September 2020 yang lalu dengan melibatkan sebanyak 38 buah pasukan terdiri daripada jabatan-jabatan dan badan berkanun kerajaan persekutuan dan negeri Perlis.

Demikian diumumkan bersempena majlis perasmian ‘Laman Woodball Jabatan Pendidikan Negeri Perlis’ dengan ‘12 Gates’ yang baharu sahaja dibangunkan di Kompleks Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Behor Pulai baru-baru ini oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

(Visited 820 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button